Halaman

Translate

Khamis, 8 Ogos 2024

Tazkirah Masyaikh - Hadhrat Khawajah Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Dehlawi Naqshabandi



Hadhrat Khawajah Shah ‘Abdullah Ghulam ‘Ali Al-Dehlawi Al-Naqsyabandi

 
Hadhrat Khawajah adalah seorang Mujaddid pada abad ke -13 dalam kalendar Hijrah. Mujaddid ialah pangkat tertinggi dalam kalangan Auliya yang menghidupkan agama Islam pada permulaan setiap abad, dan semua Auliya abad itu mendapat manfaat daripada Faidhznya
.
Hadhrat Shāh Abdullāh Mujaddidī Naqshbandī, lebih popular dengan nama Shah Ghulām Ali Dehlawi, adalah Syaikh Sufi India yang paling terkemuka pada awal abad ke-13 Hijriah . Seorang ulama besar Islam dan Syaikh bagi Tariqat Mujaddidi, beliau adalah pengganti kepada Hadhrat Mirzā Mazhar Jān Jānān yang terkenal sebagai salah seorang penyair urdu moden yang paling awal serta seorang guru sufi yang terkenal.

Hadhrat Khawajah juga dikenali sebagai Qayyum pada zamannya. Beliau dilahirkan pada 1156 H / 1743 M, di Patiala (kini di Punjab India). Ayahnya Sayyid Abdul Latīf Batālwi adalah seorang yang zuhud dan ahli sufi yang hebat dalam tarīqah Qādiri, murid kepada Syaikh Nāsiruddīn Qādiri.

Sebelum kelahirannya, bapanya telah mendapat musyahadah bahawa Hadhrat Ali al-Murtadha telah datang kepadanya dan memintanya menamakan anak lelakinya yang bakal dilahirkan itu sebagai “Ali”. Oleh itu, dia dinamakan Ali semasa lahir, tetapi kemudiannya dia menukar namanya kepada Ghulām Ali (Hamba Ali). Bagaimanapun, bapa saudaranya telah menamakannya "Abdullāh" seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah. Pada hari ini dia dikenali dengan kedua-dua nama itu. Akan tetapi namanya "Ghulam Ali"  yang lebih biasa dikenali.

Hadhrat Khawajah mempunyai daya ingatan yang tajam dan beliau dapat menghafal Al-Quran dalam tempoh cuma sebulan sahaja.  Ayahnya ingin menjadikannya murid kepada syaikhnya sendiri iaitu Hadhrat Nāsiruddin Qādiri, dan telah memanggilnya ke Delhi untuk tujuan ini. Apabila dia tiba di Delhi, tidak lama kemudian Syaikh Nasiruddin Qadiri meninggal dunia dan bapanya kemudian membenarkannya untuk mengambil baiat daripada mana-mana Syaikh semahunya. 

Dia pernah pergi bersuhbat dengan ramai Masyaikh di Delhi, dan selepas dua tahun, pada usianya 22 tahun, dia telah berbaiat dengan Hadhrat Khawajah Mirzā Mazhar Jān Jānān. Hadhrat Maulana Shah Waliyullah Dehlawi pernah mengulas tentang Hadhrat Syaikh Jān Jānān bahawa beliau ialah seorang Syaikh tariqat sufi yang hebat dalam kalangan Auliya hari ini di seluruh dunia, dan aku tidak pernah menjumpai orang yang seperti dia di ketujuh-tujuh benua ini.

Hadhrat Khawajah Shah Abdullah Ghulam Ali telah dimasukkan oleh Syaikhnya dalam silsilah Qādiri, tetapi dilatih dalam tarīqat Naqhsbandi. Ini menimbulkan kekeliruan dalam dirinya, kerana dia berkata aku ragu jika aku dilatih dalam tarīqat Naqshbandi akan membuatkan Sayyidina Ghaus al-Ãzham kecewa. kemudian, pada suatu hari aku telah melihat dalam mimpi bahawa Hadhrat Ghaus
al-Ãzham sedang duduk di sebuah rumah, dan Hadhrat Shāh Naqshband pula sedang duduk di rumah sebelahnya. Aku ingin pergi ke Hadhrat Shah Naqshband, dan Hadhrat Ghaus al-Ãzham mengizinkan untuk aku pergi ke sana, dengan mengatakan bahawa tujuan kita hanyalah Tuhan bukannya mencari tarīqat tertentu.

Selepas berkhidmat kepada Syaikhnya dan mendapat latihan rohani selama lima belas tahun, Hadhrat Khwajah Shah Ghulām Ali telah mencapai kesucian batin dan kesempurnaan dalam semua tariqat sufi, serta menerima Ijazah daripada Syaikhnya dan menjadi ketua khalifahnya yang kemudiannya menjadi pengganti mursyidnya terutamanya dalam tariqat Naqshabandi Mujaddidi
.
Silsilahnya 

Hadhrat Khawajah juga dilatih dan disempurnakan dalam tariqat sufi utama lain, khususnya
tariqat Qādiri dan Chishti, kedua ini ialah tariqat yang paling lazim di India selepas Naqshbandi. Ramai Syaikh terkemuka dari tariqat lain pernah bermuzakarah dengan beliau dalam hal-hal kerohanian, kerana beliau adalah pembimbing utama dalam semua tariqat di Delhi.

Hadhrat Khawajah telah menerima nisbat dalam tariqah Naqshbandi dari Syaikh Mirza Mazhar Jān-e-Jānān, yang menerimanya dari Hadhrat Noor Muhammad Badāyūnī, yang menerimanya dari Hadhrat Hāfiz Muhammad Muhsin Dehlawi, yang menerimanya dari Hadhrat Khwāja Saifuddin Fārūqi Sirhindi, yang menerimanya. daripada ayahnya Hadhrat Khwaja Muhammad Ma'sum Fārūqi Sirhindi, yang menerimanya daripada Hadhrat Imam Rabbāni Mujaddid Alf Thāni Syaikh Ahmad Sirhindi Fārūqi, semoga Allah menyucikan roh mereka dan memberkati kita dengan Faidhz mereka.

Hadhrat Khawajah telah mendapat izin dalam tariqat Qādiri dan Chishti dari Syaikh Mirza Mazhar Jān Jānān, yang telah menerimanya dari Khwaja Muhammad Ãbid Sanāmi, yang menerimanya dari Syaikh Abdul Ahad Sirhindi, yang menerimanya dari Syaikh Muhammad Said Fārūqi Sirhindi, yang menerimanya daripada bapanya Imam Rabbani Syaikh Ahmad Sirhindi, semoga Allah mensucikan roh mereka.

Perwatakannya

Hadhrat Khawajah sangat merendah diri dan sederhana. Suatu ketika, seekor anjing jalanan memasuki rumahnya. Hadhrat Syaikh berdoa kepada Tuhan: Siapakah aku untuk meminta syafaat daripada sahabat-sahabatmu? Wahai Tuhan! Tolong ampuni aku demi ciptaanmu (anjing) ini.

Beberapa orang telah mengambil (mencuri) buku-bukunya dan kemudian datang kepadanya dengan
menjual buku yang itu semula. Hadhrat Khawajah telah memuji buku-buku itu dan membeli daripada mereka. Jika ada orang mengatakan bahawa buku-buku itu dari perpustakaannya sendiri dan terdapat copnya juga, Hadhrat Khawajah tidak akan mahu percaya perkataan itu.

Ahli politik dan pemimpin India yang terkenal Tuan Sayyid Ahmad Khan (wafat 1898) juga memiliki hubungan dengan Syaikh semasa hidupnya. Dia telah menulis bahawa ayah dan abang saya telah Baiah dengan Syaikh, dan Syaikh sangat mencintai keluarga kami. Beliau menganggap ayah kami sebagai anaknya sendiri. Tuan Sayyid sangat mengagumi beliau dalam tulisannya. Dia melaporkan:

“Sekurang-kurangnya lima ratus orang pernah tinggal di Khanqah Hadhrat, dan perbelanjaan makanan
dan pakaian mereka dibiaya oleh Syaikh, walaupun tidak ada pendapatan tetap untuk Khanqah. Allah telah memberi rezeki Ghaib kepadanya. Lebih-lebih lagi, Syaikh itu seorang yang sangat baik dan pemurah, dia tidak pernah menolak apa-apa permohonan daripada para pemohon. Dia memberikan apa sahaja yang diminta. Dia pernah menjual hadiah yang diberikan kepadanya dan membelanjakan keuntungan itu untuk fakir. Dia memakai pakaian seperti pakaian faqir, dan memakan apa sahaja yang mereka makan.”

(Tuan Sayyid Ahmad Khan) 

Tuan Sayyid selanjutnya menulis, dia pernah membaca sepuluh ajzā daripada Quran selepas Subuh, dan kemudian akan melakukan Murāqabah bersama-sama dengan murid-muridnya. Selepas Isyrak dia akan memulakan pengajaran Hadith dan Tafsīr. Setiap kali dia mendengar nama Nabi, dia akan teruja dan
keadaan rohani yang aneh akan menguasai para hadirin. Dia tidak tidur di malam hari kecuali untuk beberapa saat saja, dia biasanya tertidur lena apabila berbaring di atas Musallahnya (tempat solat). Dia tidak pernah tidur di atas katil selama bertahun-tahun. Dia mempunyai satu permaidani tua, di atas permaidani itu terdapat Musallahnya yang biasa dia pakai. Musallah itu diperbuat daripada belukar, disitulah dia akan berdoa siang dan malam, manakala murid-muridnya akan mengelilinginya dengan membuat halqah bulatan. Keyakinanannya kepada Tuhan menjadikan dia bebas daripada persembahan golongan elit. Ramai orang kaya termasuk raja ingin menyokong khānqah secara kewangan, tetapi dia tidak pernah menerimanya.

Dengan segala kesederhanaan dan kebebasannya itu, dia tidak pernah melakukan perbuatan yang bertentangan dengan Sunnah, malah beliau mengikut Syariah dan Sunnah sehinngga pada perkara yang sekecil-kecilnya. Dia tidak suka orang yang melanggar sunnah menziarahinya.

Ajarannya

1. Hadhrat Khawajah pernah berkata, para pencari Zauq, Shauq, Kashaf serta Karamat
bukanlah pencari Tuhan. Pencari mesti hanya mencari Tuhan sahaja, dan apa-apa yang
menghalanginya dari pencarian itu mestilah dinafikan(ditolak), dan dia harus memiliki pendirian bahawa saya tidak mempunyai tujuan lain selain Zat Suci.

2. Hadhrat Khawajah berkata, tidak ada mujahadah dalam tarīqatku, yang ada hanyalah Wuqūf Qalbi iaitu sentiasa menjaga hati dengan mengingati kepada Zat Yang Maha Mulia (Tuhan) dan hendaklah menjaganya daripada bahaya telah berlaku dan yang akan terjadi (fikiran yang memudaratkan dan tidak berguna).

3. Hadhrat Khawajah berkata, Zakat itu diwajibkan selepas berlalunya setahun, tetapi saya membayarnya sebaik sahaja mendapat sebarang pendapatan (mengikut amalan yang dianjurkan dalam
Fiqh Hanafi).

Karamah dan Musyahadahnya

Banyak Karāmāt dan penglihatan rohani yang telah diceritakan tentangnya. Doanya cepat dikabulkan.
Doanya menyembuhkan orang sakit dan ucapannya menyembuhkan hati. Dia tahu apa yang ada dalam
fikiran pendengar, dan akan bercakap mengikut pengetahuan itu. Karamat terbesarnya adalah dapat menyembuhkan hati dari penyakit rohani dan membersihkan jiwa dari kotoran duniawi. 

Beberapa Kashafat penglihatan dan karamatnya dibentangkan di sini:

  •  Hadhrat Khawajah berkata, pada suatu malam saya memanggil "Ya Rasulallah", dan menerima jawapan "Labbaika Yā Abdun Shalih" (Saya hadir wahai hamba yang soleh)
  •  Hadhrat Khawajah berkata, pada suatu malam saya tidur sebelum Isya. Rasulullah datang secara rohani dan memerintahkan saya untuk tidak tidur sebelum solat isya.
  • Salah seorang muridnya Zulf Shah berkata, “Ketika saya dalam perjalanan ke Delhi untuk mengambil Bai'ah daripada Syaikh, saya tersesat di padang pasir. Tiba-tiba seorang wali muncul dan membimbing saya ke jalan yang betul. Saya bertanya, siapa kamu? Dia berkata, saya ialah orang yang kamu ingin pergi kepadanya. Perkara ini berlaku sebanyak dua kali.”
 Seseorang telah datang kepada Hadhrat Khawajah dari Bukhara melalui Kabul. Unta orang tersebut telah mati lemas ketika menyeberangi sungai Attock dengan segala barangnya. Dia berharap jika untanya keluar dari sungai hidup-hidup beserta barangannya sekali,  saya akan membayar Niaz Syaikh (Niaz adalah sejenis sedekah yang pahalanya ditujukan kepada orang lain, khususnya seorang Syaikh atau Nabi). Dengan izin Allah, unta itu keluar dalam keadaan masih hidup. Apabila orang tersebut datang kepada Syaikh dan ingin menceritakan kejadian itu, Syaikh bertanya kepadanya, apakah dia telah membayar Niaz. Dia berkata ya, saya telah membayarnya.


Legasinya

Tarīqat dan Faidhznya melebar ke serata tempat sama ada dekat atau pun jauh. Orang ramai termasuk alim ulama dari serata dunia berbondong-bondong datang kepadanya untuk mencari cinta Allah, terutamanya dari kawasan India, Parsi, Transoxiana,Turki, Kurd dan dari negara Arab. Hadhart Maulana Khālid al-Baghdadi, yang merupakan seorang yang berbangsa Kurd, telah datang kepadanya dan menerima Khilafah dalam tempoh sembilan bulan. Beliau menyebarkan tarīqat Naqshabandi kepada ratusan ribu orang di Timur Tengah dan negara-negara Turki.

Hadhrat Shah Ghulām Ali pernah berkata, “Faidhzku telah sampai ke negeri-negeri yang paling jauh, Halqah zikir kami diadakan di Makkah dan Madinah Munawwarah,begitu juga di Baghdad, Rom dan Maghrib; dan (dia berkata sambil tersenyum) Bukhara adalah seperti rumah nenek moyang kami.”

Hari ini, antara silsilah Naqshabandi yang banyak tersebar memiliki perkaitan nisbat kepada Hadhrat Khawajah Shah Abdullah Ghulam Ali Dehlawi. Terutamanya yang berada di kawasan Turki dan Iraq silsilah mereka bersambung kepada Hadhrat Khawajah melalui Hadhrat Maulana Khalid Baghdadi. Manakala, sislilah Naqshabandi yang tersebar di kebanyakan tempat seperti negara Parsi dan benua India ialah  melalui Hadhrat Hafiz Abu Said Faruqi.

Tariqat Naqshbandi adalah tariqat yang paling aktif secara rohani hari ini, dan telah diramalkan oleh
para Syaikh tariqat ini bahawa Imam Mahdi juga akan tergolong dalam tariqat Naqshbandiyah yang
mulia.


Kematiannya

Hadhrat Khawajah mengharapkan Shahādah (mati syahid) tetapi tidak memohon kepada Tuhan untuk itu, kerana Shahidnya Hadhrat  Khawajah Mirza telah membawa banyak penderitaan terhadap orang ramai (mungkin sebagai tanda kemurkaan Allah).

Imam besar dan Qutub ini kembali ke alam abadi pada 22 Safar 1240 Hijrah (Oktober 1824) pada ketika berusia 84 tahun. Beliau telah dikebumikan di sebelah Maqam Syaikhnya di Khānqah Mazhariya Delhi, India.

Pada saat kematiannya, beliau sedang memegang kitab Hadith Jami' al-Tirmidhi pada dadanya yang mulia. Solat jenazah beliau disembahyangkan di masjid Jami' Delhi, dipimpin oleh ketua
khalifahnya iaitu Hadhrat Hafiz Abu Said dan dihadiri oleh ribuan orang.


Para Khulafa dan Penggantinya

Hadhrat Khawajah telah memberikan Ijāzah kepada ramai daripada kalangan pengikutnya, kebanyakan dari mereka menjadi Syaikh Sufi yang terkemuka. Tiga puluh lapan nama timbalannya diketahui dan diceritakan dalam biografinya. Para wakilnya telah menyebarkan tariqat Naqshabandi di negara India, Arab, Parsi, Turki dan Afrika. 

Antara nama khulafanya yang paling menonjol disenaraikan di bawah ini:

1. Hadhrat Hāfiz Shāh Abū Said Fārūqī Mujaddidi Naqshbandi , dilantik oleh Syaikh untuk
menjadi penggantinya dalam khānqah di Dehli. Dia hidup sekitar sembilan tahun selepas Syaikh wafat
dan melatih ribuan pengikut selepasnya. Beliau meninggal dunia pada tahun 1250 Hijrah dan
dikebumikan di Khānqah Mazhariya di Delhi.
2. Hadhrat Shāh Ahmad Said Fārūqī Mujaddidi , anak kepada Shah Abū Said Faruqi, yang
menerima Khilafah daripada Shah Ghulām Ali, dan menggantikannya selepas kematian bapanya.
Oleh kerana popularitinya dalam kalangan Muslim India dan peranan utamanya dalam
pemberontakan 1857 terhadap penjajah British, kerajaan ingin mendakwanya. Oleh itu, dia telah
berhijrah ke Madinah al-Munawwarah pada bahagian akhir hidupnya di mana dia meninggal di
sana pada 1277 Hijrah.
3. Maulānā Khālid al-Baghdādī Kurdī Shahrazūrī (Baghdad, Iraq), meninggal dunia 1242 H / 1827. Beliau ialah salah seorang yang paling terkenal dari kalangan para khulafanya. Beliau telah menyebarkan tariqat Naqshbandi di Timur Tengah dan Turki. Sejumlah besar orang awam termasuk ulama terkenal telah dijalankan dalam tariqat Naqshabandi melalui beliau.
4. Hadhrat Shāh Raūf Ahmad Rāft Faruqi Mujaddidi Rāmpuri (Bhopal, India, 1253 H)
5. Hadhrat Maulana Bashāratullah Behrā'ichi
6. Hadhrat Maulana Ghulām Muhiuddīn Qusuri (Qusur, Pakistan, 1270 Hijrah)
7. Hadhrat Maulana Sayyid Ismāil Madani (Madinah, Arab Saudi)
8. Hadhrat Maulana Shah Gul Muhammad Ghaznawi (Bukhara, Uzbekistan)
9. Hadhrat Maulana Muhammad Sharif (Sirhind, India)
10. Hadhrat Maulana Pir Muhammad (Kashmir)
11. Hadhrat Maulana Jān Muhammad Herati (Herat, Afghanistan)
12. Hadhrat Syaikhul Haram Maulana Muhammad Jān (Makkah, Wafat 1266 Hijrah)


Penulisannya

Lima belas karya penulisan dikaitkan dengan Syaikh, selain daripada dua koleksi Malfūzāt (kata-kata
yang ditranskripsi) yang ditulis oleh khulafanya. 

Karya-karya karangan beliau antaranya :

1. Maqāmāt-e-Mazharī (biografi terbaik dan lengkap syaikhnya Hadhrat Mirza Mazhar Jān-
e-Jānān, ditulis dalam bahasa Parsi sekitar tahun 1211 Hijrah.
2. Īdāh al-Tarīqat (ditulis pada 1212 Hijrah, tentang Azkar, syarat dan prinsip tariqat Naqshbandi)
3. Ahwāl-e-Buzurgān (ditulis selepas 1225 Hijrah. Ini adalah karya biografinya dengan biografi beberapa syaikh yang hebat)
4. Maqāmāt Mujaddid Alf Tsani (Risalah ini mengandungi huraian tentang kelebihan dan pencapaian rohani yang tinggi Hadhrat Imam Rabbani Syaikh Ahmad Sirhindi)
5. Tarīq Bay'āh wa Azkār
6. Tarīqah sharīfah Shāh-e-Naqshband
7. Ahwal Shāh-e-Naqsyband
8. Risālah Azkār
9. Risālah Murāqabāt
10. Radd Aetirāzāt , mengandungi penolakan tentang penentangan Hadhrat Imam Rabbani oleh
Shah Abdul Haqq Dehlawi, yang kemudiannya bertaubat dari dakwaannya tetapi beberapa orang
lain menggunakan tulisannya untuk menyangkal Imam Rabbani Syaikh Ahmad Sirhindi.
11. Radd Mukhālifīn Hazrat Mujaddid
12. Risālah Mashghūliyah
13. Kamālāt Mazhari , dikarang pada 1237 Hijrah / 1821
14. Sulook Rāqiyah Naqshbandiyah
15. Makātīb Sharīfa , 125 suratnya yang dikumpulkan oleh khalifahnya Hadhrat Shah Rauf Ahmad
Raaft Mujaddidi. Kitab ini telah diterbitkan beberapa kali.
16. Malfūzātnya telah dikumpulkan oleh dua orang Khulafanya. Yang pertama, bernama Durr al-
Ma'ārif , ditulis oleh Hadhrat Shah Rauf Ahmad Raaft pada tahun 1231 Hijrah, dan yang kedua
yang mengandungi Malfūzāt selama empat puluh hari, ditulis oleh Khwaja Ghulām Muhiuddin
Qusoori, semoga Allah meridhai mereka berdua.


Rujukan

1. Faiz Naqshband , terjemahan Urdu Durr al-Ma'ārif , ucapan Shah Ghulam Ali Dehlavi, ditulis oleh
Shah Rauf Ahmad Raaft Mujaddidi dan diterjemahkan oleh Maulana Abdul Hakeem Khan
2. Maqāmāt Mazhari , terjemahan Urdu oleh Iqbal Ahmed Mujaddidi, diterbitkan oleh Lembaga
Sains Urdu Lahore, edisi kedua 2001
3. Biografi Pendek dalam bahasa Urdu oleh Mukhtar Ahmed Tahiri, diterbitkan dalam Attahir
[ www.islahulmuslimeen.org ]

Tiada ulasan: