Halaman

Translate

Rabu, 7 Ogos 2024

[Bahagian Satu] Bani Israil Dan Ummat Islam — Hadhrat Syaikhul Hadith Maulana Fazlur Rahman Azmi




الحمد الله الذي هدانا لهذا وما كنا لنهتدي لو لا ان هدانا الله لقد جاءت رسل ربنا بالحق صلوات الله تعالى عليهم وعلى من تبعهم باحسان، اما بعد

Saudara dan saudari yang saya hormati, pada kesempatan ini saya ingin menyebut tentang sesuatu yang saya rasa amat penting. Oleh itu, dengarlah dengan penuh perhatian.

Kamu yang telah berkenalan secara ringkas dengan subjek al-Quran sama ada dengan mempelajari terjemahan atau dengan menyertai majlis-majlis tafsir al-Quran akan mengetahui bahawa dari semasa ke semasa, adanya yang disebut tentang Bani Israil. Al-Quran Majid bukanlah kitab sejarah, bukan juga buku cerita, malah ia adalah kitab petunjuk. Apa sahaja yang terkandung di dalamnya adalah untuk panduan kita. Penceritaan tentang peristiwa Bani Israil yang begitu kerap juga adalah untuk tujuan ini (mengambil pelajaran).

Siapakah Bani Israil? Hendaklah difahami daripada ini bahawa mereka itu adalah muslim pada zaman mereka, yang bukan sahaja percaya kepada Anbiya عليهم السلام, bahkan mereka (Bani Israil) juga adalah dari keturunan mereka (para Anbiya).  Hadrat Ibrahim عليه السلام mempunyai seorang anak lelaki, Hadrat Ishaq عليه السلام, dan Hadrat Ishaq عليه السلام mempunyai seorang anak lelaki, Hadrat Ya'qub عليه السلام yang bergelar 'Israil'. Oleh itu, anak keturunan dari Ya'qub عليه السلام dipanggil 'Bani Israil' (anak-anak Israil).

Mereka adalah kaum yang percaya kepada Anbiya عليه السلام. Mereka beriman kepada Ibrahim عليه السلام, Ishaq عليه السلام, Ya'qub عليه السلام. Pada zaman Nabi ﷺ, Bani Israil telah terbahagi kepada dua golongan iaitu mereka yang tidak beriman kepada Isa عليه السلام, bahkan mereka menentangnya walaupun mereka beriman kepada Nabi-nabi sebelum dia. Golongan kedua ialah mereka yang beriman kepada Isa عليه السلام. Apabila Al-Quran menyebut tentang Bani Israil, penyebutan itu adalah dibuat untuk kedua-dua kelompok ini. Pada hakikatnya mereka adalah keturunan yang sama. Keadaan mereka adalah sama seperti orang Islam yang ada pada hari ini. Sebagaimana yang kita tahu, umat Islam hari ini menyakini bahawa Al-Quran ialah kitab Allah dan mempercayai bahawa Nabi ﷺ sebagai Nabi yang terakhir. Begitu juga Bani Israil dahulu percaya kepada kitab ketuhanan yang ada pada zaman mereka dan mereka juga percaya pada para Nabi zaman mereka. Walau bagaimanapun, keadaan iman mereka semakin hari semakin merosot seperti mana iman kita umat Islam yang telah merosot pada hari ini.

Ini adalah keadaan umum yang kebanyakan dari kalangan mereka seperti keadaan umum kita. Perkara ini tidak terjadi sepertimana pada zaman Nabi ﷺ  , yang mana pada waktu itu tidak ada seorang pun di antara mereka yang tidak berada di jalan yang lurus. Dalam banyak tempat di dalam Al-Quran ada disebutkan dengan jelas bahawa di kalangan Ahli kitab Bani Israil juga terdapat ramai orang yang soleh dan yang berada pada jalan yang lurus, sepertimana yang terdapat dalam Al-Quran:

ذلك بأن منهم قسسين ورهبانا وانهم لا يستكبرون واذا سمعوا ما انزل الى الرسول ترى أعينهم تفيض من الدمع مما عرفوا من الحق، يقولون ربنا آمنا فاكتبنا مع الشاهدين

yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong. Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad ﷺ), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad ﷺ dan Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad ﷺ).
(Surah Maidah ayat 82-83)

Dalam ayat ini telah disebutkan tentang orang-orang Nasrani dari Habsyah (Ethiopia) bahawa di antara mereka ada ulama yang jujur ​​dan orang-orang saleh yang tidak ada kesombongan. Tambahan pula, Allah تعالى sendiri menyebut keadaan mereka bahawa apabila mereka mendengar ayat al-Quran, mereka segera mengetahui kebenaran hingga mengalirlah air mata mereka, kemudian mereka berdoa kepada Allah تعالى sambil berkata: "Wahai Tuhan kami!, kami beriman (kepada Nabi Muhammad ﷺ dan Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad ﷺ).

Kendatipun begitu, dari kalangan Ahli kitab Bani Israil terdapat mereka yang soleh, ikhlas dan membawa Iman yang benar, akan tetapi, orang awam keadaan mereka adalah sama seperti yang telah saya sebutkan.

Dalam satu Hadith, Nabi ﷺ ada menyebutkan :

إن الله نظر الى اهل الأرض فمقتهم وعجمهم إلا بقايا من اهل الكتاب وفي رواية إلا بقايا من بني اسرائيل

Makna dari Hadis ini ialah sebelum kedatangan Nabi ﷺ, Allah تعالى melihat seluruh makhluk dari timur hingga ke barat, utara hingga ke selatan, Arab dan bukan Arab. Kehidupan setiap orang sama sekali tidak disukai oleh Allah, justeru menjadikan mereka layak mendapat kemurkaan Allah kecuali beberapa orang dari kalangan ahli kitab Bani Israil, mereka adalah orang-orang yang baik dan benar lagi yang diredhai Allah.

Pada satu tempat lain dalam Al-Quran, Allah تعالى berfirman:

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَـٰقَ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ لَا تَعْبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَانًۭا وَذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَقُولُوا۟ لِلنَّاسِ حُسْنًۭا وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ إِلَّا قَلِيلًۭا مِّنكُمْ وَأَنتُم مُّعْرِضُونَ 

Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat". Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu ialah orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.

(Surah Baqarah ayat 83)

Dalam ayat ini Allah تعالى menyebut tentang perintah-perintah utama yang Dia perintahkan kepada Bani Israil, seperti Tauhid (beriman kepada keesaan Allah تعالى), berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, menunaikan hak orang miskin. Allah تعالى juga menyuruh mereka bercakap baik dengan semua manusia tanpa terkecuali, mendirikan solat dan menunaikan zakat.

Seperti yang kamu sedia maklum, inilah prinsip dan ajaran asas yang ditekankan dan terdapat dalam ajaran setiap Nabi dan kitab Allah تعالى. Ajaran asas Al-Quran dan Syariah yang dibawa oleh Nabi S adalah sama. Bani Israil juga menerima ajaran asas ini, tetapi apa yang berlaku selepas itu? Allah تعالى berfirman:

 ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ إِلَّا قَلِيلًۭا مِّنكُمْ وَأَنتُم مُّعْرِضُونَ 

Selepas itu (selepas beberapa hari) kamu berpaling daripada janji melaksanakan ajaran asas ini kecuali beberapa orang (dari kalangan kamu). 

(Surah Baqarah ayat 83)

Tiada ulasan: