Halaman

Translate

Memaparkan catatan dengan label Nur Nisbat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nur Nisbat. Papar semua catatan

Isnin, 21 April 2025

Nisbat Naqshabandiyyah — Maulawi Jalalludin Ahmad Ar- Rowi


NISBAT NAQSHABANDIYYAH

بســم الله الرحمن الرحيم  

الحمد لله الذي شرفَ أوليائَهُ بالإرثِ النبوي، وزينَ قلوبَ العارفينَ بأنوارِ النسبِ الروحاني، وصلى الله على سيدنا محمدٍ خاتم النبيين، وعلى آلهِ وأصحابِهِ أجمعين. وبعد،
Maka inilah satu hikayat yang mengandungi akan pengajaran besar bagi segala salik yang berjalan pada jalan suluk, tatkala tersebut pada suatu hari, adalah Imam Rabbani Mujaddid Alf Thani, yang bernama Syaikh Ahmad al-Sirhindi رضي الله عنه, duduklah ia di dalam majlis bersama segala sahabatnya dalam hal muraqabah yang dalam dan zikrullah yang bersangatan.  

Maka datanglah seorang anak cucu Syaikh Shah Kamal al-Kitahli قدس الله سره, iaitu Shah Sikandar, membawa serta sehelai jubah yang diwariskan turun-temurun daripada Sayyiduna al-Ghawth al-A’zam, as-Sayyid ‘Abdul Qadir al-Jilani رضي الله عنه. Maka disarungkannya jubah itu ke atas bahu Imam yang mulia itu.  

Tatkala Imam membuka mata dan melihat akan Shah Sikandar, segera bangkit ia dengan tawaduk dan terus mendakap Shah Sikandar dengan mesra serta hormat. Maka Shah Sikandar pun bertitah katanya:  

“Wahai Imam yang mulia, sesungguhnya jubah ini adalah amanah datukku, yang disampaikan dari tangan ke tangan daripada Sayyiduna al-Ghawth al-A’zam, hingga kepada kami. Maka telah dititahkan datukku kepadaku supaya jubah ini aku pelihara hingga tiba perintah untuk menyerahkannya kepada orang yang terpilih. Dan telah berkali-kali ia menyuruh aku menyampaikan kepadamu, akan tetapi berat hatiku hendak berpisah dengan keberkatan ini. Namun kerana titahnya amat keras, hampir-hampir ia murka akan aku, maka dengan berat hati aku serahkan jubah ini kepadamu.”  

Maka Imam pun memakai jubah itu, lalu masuk ke dalam khalwat. Tatkala itu timbullah di dalam hati Imam suatu lintasan, katanya:  

“Amat hairanlah aku akan adat para Masyayikh! Hanya dengan dikenakan jubah kepada seseorang, serta-merta ia diangkat jadi khalifah tanpa diuji dalam khalwat yang hakiki. Patutnya diuji dahulu hingga nyata kebenaran maqamnya, baharulah diserahkan kepadanya khalifah!”  

Maka belum habis lintasan itu di dalam hati, dengan segeranya terlihat oleh Imam, hadir Sayyiduna al-Ghawth al-Thaqalayn, Syaikh ‘Abdul Qadir al-Jilani قدس سره bersama segala khalifahnya, hingga sampai kepada Shah Kamal al-Kitahli رضي الله عنه. Maka dicurahkannya atas Imam segala anugerah cahaya nisbah yang khusus.  

Lalu terlintas pula dalam hati Imam:  

“Aku telah dibesarkan dalam asuhan thariqat Naqsyabandiyyah, bagaimana bisa berlaku perkara ini?”  

Maka pada saat itu hadir pula segala Masyayikh Thariqat Naqsyabandiyyah daripada Khwajah ‘Abdul Khaliq al-Ghujdawani hingga sampai kepada Khwajah Muhammad Baqi Billah عليهم الرّحمة. Maka duduklah Khwajah Bahauddin Naqsyaband عليه الرحمة di sisi Sayyiduna al-Ghawth al-A’zam.  

Maka bersabda segala Masyayikh Naqsyabandiyyah:  

“Adapun Syaikh Ahmad adalah anak didik madrasah kami, dan telah sampai ia kepada kemuliaan dan kesempurnaan di dalamnya.”  

Maka disanggah pula oleh para Masyayikh Qadiriyyah katanya:  

“Benar, tetapi ia mula-mula sekali telah merasa daripada hidangan kami!”  

(Yang demikian itu adalah isyarat kepada suatu peristiwa tatkala Imam masih kanak-kanak, dalam sakitnya, lalu Shah Kamal al-Kitahli memasukkan lidahnya ke dalam mulut Imam, maka dihisapnya oleh si anak kecil dengan penuh kasih.)  

Lalu mereka berkata lagi:  

“Dan sekarang ini, ia telah memakai jubah kami!”  

Tatkala itu hadir pula Masyayikh daripada thariqat-thariqat lain, seperti Chishtiyyah, Kubrawiyyah dan Suhrawardiyyah, lalu berkata mereka:  

“Kami pun ada hak atas dirinya, kerana Imam telah mengambil bai’ah daripada kami melalui tangan ayahandanya sebelum bertemu dengan Khwajah Baqi Billah.”  

**Maka akhirnya hadir Junjungan Besar Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم**  

Tatkala berhimpun sekalian ruh para wali Allah, hingga penuhlah tempat dengan cahaya kehadiran mereka, berpanjanganlah perbahasan itu daripada pagi hingga waktu zuhur. Maka datanglah Rasulullah صلى الله عليه وسلم dengan limpah rahmat dan kasih baginda, lalu bersabda dengan penuh hikmah:  

“Adapun Syaikh Ahmad, telah sempurna kemaqamannya dalam thariqat Naqsyabandiyyah, maka pada jalan ini hendaklah ia berpegang dan menyebarkan. Namun demikian, janganlah dilupakan akan nisbah thariqat-thariqat yang lain, kerana tiap-tiap satu mempunyai hak yang tetap atas dirinya.”  

Maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم mendoakan kebaikan baginya, dan setelah itu bersurailah segala hadirin dalam majlis itu.  

---

**Hikmat Pengajaran:**  

1. Bahawasanya segala sanad thariqat sufi, bertemu pada satu simpulan, iaitu kebergantungan atas Rasulullah صلى الله عليه وسلم, dan Imam Rabbani adalah penerima keberkatan dari segala penjuru.  

2. Menunjukkan bahawa tasawwuf yang hakiki, tidak sekali-kali lari dari pimpinan Sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم, bahkan di bawah naungan kasih baginda.  

3. Jubah pada kisah ini bukan hanya pakaian zahir, tetapi tanda pemberian izin rohani yang sah dan amanah besar.  

4. Khalwat maknawi adalah syarat penting untuk menyerahkan khalifah, bukan hanya sekadar adat perhiasan dunia.

Ahad, 4 Ogos 2024

Berkat Sentuhan Nabi ﷺ — Mahbubul Ulama Wa Sulaha Maulana Zulfiqar Ahmad Naqshabandi Mujaddidi

Berkat sentuhan Nabi ﷺ 

Suatu ketika Sayyidah Fatimah Al-Zahra رضي الله عنها sedang membakar roti di dalam ketuhar. Sementara itu, Rasulullah ﷺ datang ke rumahnya. Rasulullah ﷺ sangat menyayangi anak perempuannya itu رضي الله عنها. Anak perempuannya رضي الله عنها itu juga sama mencintainya. Apabila Nabi ﷺ melihatnya sedang membakar roti, dia berkata, Fatimah رضي الله عنها!, aku juga ingin membuat roti. Maka Nabi ﷺ pun mengambil sebuku tepung dan mengadunnya menjadi doh, lantas menyuruh Sayyidah Fatimah رضي الله عنها untuk memasukkan doh itu ke dalam ketuhar. Sayyidah Fatimah رضي الله عنها pun memasukkan adunan roti itu ke dalam ketuhar. Apabila Sayyidah Fatimah Al-Zahra رضي الله عنها selesai membakar roti, dia mula berkata, Ayah! Semua roti telah masak dengan matang, tetapi satu roti tadi tidak juga masak-masak sehingga sekarang, sama seperti asalnya. Kepanasan api itu tidak memberi kesan kepadanya. Nabi Muhammad ﷺ tersenyum lalu berkata, "bahawa api tidak akan menjejaskan doh (adunan roti) yang telah disentuh oleh tanganku ﷺ. 

سبحان الله

Seorang sahabat berkata bahawa "aku telah pergi ke rumah Hadhrat Anas رضي الله عنه atas sebab dijemput untuk makan bersamanya. Setelah selesai makan dia telah meminta hambanya untuk membawakan tuala, apabila hamba itu membawa tuala, Hadhrat Anas رضي الله عنه melihat bahawa tuala itu kotor dan basah. Hadhrat Anas رضي الله عنه memandangnya dengan pandangan marah dan berkata, "bawa pergi tuala itu dan bersihkan". Hamba itu telah pergi dan melemparkan tuala itu ke dalam ketuhar yang panas membakar. Selepas beberapa ketika, dia mengeluarkan tuala itu dari ketuhar dan kain itu telah menjadi bersih. Lalu, hamba itu telah membawa tuala yang kering itu kepada aku. Aku membersihkan tangan sambil memandang Hadhrat Anas رضي الله عنه dengan pandangan ingin bertanya. Hadhrat Anas رضي الله عنه tersenyum dan berkata bahawa, "aku pernah menjemput Nabi ﷺ  datang ke rumahku. Aku telah memberikannya tuala ini kepada Mahbub ﷺ kekasihku untuk membersihkan tangannya yang diberkati itu. Sejak Mahbub ﷺ membersihkan tangannya yang mubarak, api sudah tidak lagi dapat membakar tuala ini.

سبحان الله

Apa saja yang disentuh oleh Nabi ﷺ, atas sebab berkatnya nisbat perkaitan ini api pun turut berhenti dari membakarnya.

Isnin, 29 Julai 2024

Kisah Tentang Peti Tabut Sakinah — Mahbubul Ulama Wa Sulaha Hadhrat Maulana Zulfiqar Ahmad Naqshabandi Mujaddidi

Kisah tentang peti tabut sakinah


Allah menyebut di satu tempat pada surah Al-Baqarah dalam Al-Quran bahawa dua malaikat telah datang kepada Hadhrat Talut dengan membawa sebuah peti yang besar. Lalu berkata bahawa di dalam peti itu ada sakinah di dalamnya. Sakinah itu membawa maksud rahmat, keberkatan dan cahaya yang diturunkan oleh Allah تعالى. Dalam Al-Quran, Allah berfirman pada satu tempat 

انزل الله سكينة على رسوله 

Yang bermaksud bahawa Allah menurunkan sakinah kepada Rasul-Nya. Allah menggunakan perkataan sakinah untuk peti ini juga.

Allah menunjukkan dengan berfirman bahawa

فيه سكينة وبقية مما ترك ال موسى وال هارون تحمله الملائكة

Di dalamnya terdapat sakinah rahmat, keberkatan dan cahaya, dan barang peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun yang dibawa oleh malaikat  

Telah difahami bahawa Allah telah meletakkan keberkatan sakinah pada barang peninggalan daripada kedua-dua mereka itu. Jadi sabit terbukti bahawa nisbat perkaitan boleh membuat sesuatu perkara itu menjadi bernilai. 

Dengan kata lain, kepentingan nisbat dalam kehidupan seorang insan itu adalah sangat tinggi. Jika seseorang itu bukan setakat memiliki nisbat hubungan yang baik dalam kehidupannya, malah dia juga menghormati dan menghargai suatu nisbat, maka dia akan dapat melihat manfaat dan buahnya di dunia dan di akhirat. Jika kita melihat sejarah dan membaca keadaan para wali Allah, maka kita akan faham apakah nilai maqam kedudukan suatu nisbat itu.

Kitab Rahe Salamat Tumhari Nisbat karangan Hazratji Maulana Zulfiqar Ahmad Naqshabandi Mujaddidi 

Ahad, 28 Julai 2024

Janji Syurga Untuk Seekor Unta — Mahbubul Ulama Wa Sulaha Hadhrat Maulana Zulfiqar Ahmad Naqshabandi Mujaddidi

Janji syurga untuk seekor unta


Ahli tafsir juga ada menuliskan tentang unta Hadhrat Nabi Shalih عليه السلام bahawa pada hari kiamat nanti Allah akan mengurniakannya syurga, sedangkan unta-unta lain yang ada di dunia ini tidak akan masuk syurga. Akan tetapi disebabkan unta ini memiliki nisbat perhubungan dengan Hadhrat Nabi Shalih عليه السلام maka Dia berjanji untuk memasukkannya juga ke dalam syurga.

Kitab Rahe Salamat Tumhari Nisbat karangan Hazratji Maulana Zulfiqar Ahmad Naqshabandi Mujaddidi

Janji Syurga Untuk Sebatang Pokok Kurma — Mahbubul Ulama Wa Sulaha Hadhrat Maulana Zulfiqar Ahmad Naqshabandi Mujaddidi

Janji syurga untuk sebatang pokok kurma


Istiwanah Al Hannanah (الاسطوانة الحنانة) adalah pokok kurma yang jatuh cinta kepada Rasulullah ﷺ . Nabi Muhammad ﷺ pernah menyampaikan khutbah sambil bersandar di batang pokok kurma ini. Apabila mimbar dibina, Baginda Nabi ﷺ duduk di atas mimbar dan menyampaikan khutbah tentang janji syurga. Pada ketika itu, Baginda ﷺ tidak lagi bersandar di batang kurma itu. Kemudian kedengaran di telinga semua yang hadir pada ketika itu bahawa pokok kurma itu menangis sepertimana tangisan kanak-kanak, dia sedih kerana tidak akan dapat bersama dengan Baginda ﷺ seperti mana dia telah berpisah dari Baginda Nabi ﷺ saat Baginda ﷺ tidak lagi bersandar padanya saat berkhutbah. Maka Baginda ﷺ juga telah menjanjikan syurga untuknya.

Kitab Rahe Salamat Tumhari Nisbat karangan Hazratji Maulana Zulfiqar Ahmad Naqshabandi Mujaddidi

Janji Syurga Untuk Seekor Anjing — Mahbubul Ulama Wa Sulaha Hadhrat Maulana Zulfiqar Ahmad

Janji syurga untuk seekor anjing.


Seekor anjing telah dijanjikan syurga kerana turut serta bersama dengan Ashabul Kahfi. Ahli tafsir telah menulis bahawa Allah akan memberikannya syurga pada hari kiamat dengan menjadikannya dalam rupa bentuk manusia. Jika seekor anjing dapat syurga hanya dengan bergaul dengan orang baik, maka bagaimana pula dengan orang yang memiliki hubungan dengan orang baik yang beriman, mengapa pula dia tidak akan diselamatkan ?

Kitab Rahe Salamat Tumhari Nisbat karangan Hazratji Maulana Zulfiqar Ahmad Naqshabandi Mujaddidi