Halaman

Translate

Isnin, 21 April 2025

Nisbat Naqshabandiyyah — Maulawi Jalalludin Ahmad Ar- Rowi


NISBAT NAQSHABANDIYYAH

بســم الله الرحمن الرحيم  

الحمد لله الذي شرفَ أوليائَهُ بالإرثِ النبوي، وزينَ قلوبَ العارفينَ بأنوارِ النسبِ الروحاني، وصلى الله على سيدنا محمدٍ خاتم النبيين، وعلى آلهِ وأصحابِهِ أجمعين. وبعد،
Maka inilah satu hikayat yang mengandungi akan pengajaran besar bagi segala salik yang berjalan pada jalan suluk, tatkala tersebut pada suatu hari, adalah Imam Rabbani Mujaddid Alf Thani, yang bernama Syaikh Ahmad al-Sirhindi رضي الله عنه, duduklah ia di dalam majlis bersama segala sahabatnya dalam hal muraqabah yang dalam dan zikrullah yang bersangatan.  

Maka datanglah seorang anak cucu Syaikh Shah Kamal al-Kitahli قدس الله سره, iaitu Shah Sikandar, membawa serta sehelai jubah yang diwariskan turun-temurun daripada Sayyiduna al-Ghawth al-A’zam, as-Sayyid ‘Abdul Qadir al-Jilani رضي الله عنه. Maka disarungkannya jubah itu ke atas bahu Imam yang mulia itu.  

Tatkala Imam membuka mata dan melihat akan Shah Sikandar, segera bangkit ia dengan tawaduk dan terus mendakap Shah Sikandar dengan mesra serta hormat. Maka Shah Sikandar pun bertitah katanya:  

“Wahai Imam yang mulia, sesungguhnya jubah ini adalah amanah datukku, yang disampaikan dari tangan ke tangan daripada Sayyiduna al-Ghawth al-A’zam, hingga kepada kami. Maka telah dititahkan datukku kepadaku supaya jubah ini aku pelihara hingga tiba perintah untuk menyerahkannya kepada orang yang terpilih. Dan telah berkali-kali ia menyuruh aku menyampaikan kepadamu, akan tetapi berat hatiku hendak berpisah dengan keberkatan ini. Namun kerana titahnya amat keras, hampir-hampir ia murka akan aku, maka dengan berat hati aku serahkan jubah ini kepadamu.”  

Maka Imam pun memakai jubah itu, lalu masuk ke dalam khalwat. Tatkala itu timbullah di dalam hati Imam suatu lintasan, katanya:  

“Amat hairanlah aku akan adat para Masyayikh! Hanya dengan dikenakan jubah kepada seseorang, serta-merta ia diangkat jadi khalifah tanpa diuji dalam khalwat yang hakiki. Patutnya diuji dahulu hingga nyata kebenaran maqamnya, baharulah diserahkan kepadanya khalifah!”  

Maka belum habis lintasan itu di dalam hati, dengan segeranya terlihat oleh Imam, hadir Sayyiduna al-Ghawth al-Thaqalayn, Syaikh ‘Abdul Qadir al-Jilani قدس سره bersama segala khalifahnya, hingga sampai kepada Shah Kamal al-Kitahli رضي الله عنه. Maka dicurahkannya atas Imam segala anugerah cahaya nisbah yang khusus.  

Lalu terlintas pula dalam hati Imam:  

“Aku telah dibesarkan dalam asuhan thariqat Naqsyabandiyyah, bagaimana bisa berlaku perkara ini?”  

Maka pada saat itu hadir pula segala Masyayikh Thariqat Naqsyabandiyyah daripada Khwajah ‘Abdul Khaliq al-Ghujdawani hingga sampai kepada Khwajah Muhammad Baqi Billah عليهم الرّحمة. Maka duduklah Khwajah Bahauddin Naqsyaband عليه الرحمة di sisi Sayyiduna al-Ghawth al-A’zam.  

Maka bersabda segala Masyayikh Naqsyabandiyyah:  

“Adapun Syaikh Ahmad adalah anak didik madrasah kami, dan telah sampai ia kepada kemuliaan dan kesempurnaan di dalamnya.”  

Maka disanggah pula oleh para Masyayikh Qadiriyyah katanya:  

“Benar, tetapi ia mula-mula sekali telah merasa daripada hidangan kami!”  

(Yang demikian itu adalah isyarat kepada suatu peristiwa tatkala Imam masih kanak-kanak, dalam sakitnya, lalu Shah Kamal al-Kitahli memasukkan lidahnya ke dalam mulut Imam, maka dihisapnya oleh si anak kecil dengan penuh kasih.)  

Lalu mereka berkata lagi:  

“Dan sekarang ini, ia telah memakai jubah kami!”  

Tatkala itu hadir pula Masyayikh daripada thariqat-thariqat lain, seperti Chishtiyyah, Kubrawiyyah dan Suhrawardiyyah, lalu berkata mereka:  

“Kami pun ada hak atas dirinya, kerana Imam telah mengambil bai’ah daripada kami melalui tangan ayahandanya sebelum bertemu dengan Khwajah Baqi Billah.”  

**Maka akhirnya hadir Junjungan Besar Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم**  

Tatkala berhimpun sekalian ruh para wali Allah, hingga penuhlah tempat dengan cahaya kehadiran mereka, berpanjanganlah perbahasan itu daripada pagi hingga waktu zuhur. Maka datanglah Rasulullah صلى الله عليه وسلم dengan limpah rahmat dan kasih baginda, lalu bersabda dengan penuh hikmah:  

“Adapun Syaikh Ahmad, telah sempurna kemaqamannya dalam thariqat Naqsyabandiyyah, maka pada jalan ini hendaklah ia berpegang dan menyebarkan. Namun demikian, janganlah dilupakan akan nisbah thariqat-thariqat yang lain, kerana tiap-tiap satu mempunyai hak yang tetap atas dirinya.”  

Maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم mendoakan kebaikan baginya, dan setelah itu bersurailah segala hadirin dalam majlis itu.  

---

**Hikmat Pengajaran:**  

1. Bahawasanya segala sanad thariqat sufi, bertemu pada satu simpulan, iaitu kebergantungan atas Rasulullah صلى الله عليه وسلم, dan Imam Rabbani adalah penerima keberkatan dari segala penjuru.  

2. Menunjukkan bahawa tasawwuf yang hakiki, tidak sekali-kali lari dari pimpinan Sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم, bahkan di bawah naungan kasih baginda.  

3. Jubah pada kisah ini bukan hanya pakaian zahir, tetapi tanda pemberian izin rohani yang sah dan amanah besar.  

4. Khalwat maknawi adalah syarat penting untuk menyerahkan khalifah, bukan hanya sekadar adat perhiasan dunia.