Halaman

Translate

Ahad, 19 Mei 2024

Jenis-Jenis Khilafat

 بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله وكفى وسلام على عباده الذين اصطفى، أما بعد


Khilafat

Setiap silsilah, Para Masyaikhnya memiliki ciri-ciri dan cara memberi khilafat yang berbeza.

1. Khilafat lisan :

Sebahagian Burzugan cara mereka memberi khilafat adalah melalui percakapan mereka. Jika kata-kata itu keluar dari mulut seorang Wali yang Kamil sempurna lagi Akmal menyempurnakan,“aku memberi kamu khilafat” maka ucapan Wali yang sempurna itu mudah-mudahan diterima Allah. Dengan memberikan khilafat, hal keadaan murid itu akan berubah. Hadhrat Khawajah Muhammad Ma'sum bin Imam Rabbani Mujaddid Alfi Tsani quddisa sirruhuma pernah duduk di hadapan muridnya lalu berkata “engkau adalah Abdal(satu pangkat kewalian)” pada waktu lain dia berkata pada murid yang lain “kamu adalah Quthub(satu pangkat kewalian)”. Begitulah cara mereka melantiknya sebagai khalifah.

2. Khirqat Khilafat :

Sebahagian Burzugan apabila mereka ingin memberikan khilafat kepada murid mereka, mereka akan memberinya pakaian khas setelah murid tersebut menyempurnakan maratib tingkatan suluk.

Hadhrat Habib Karim Muhammad ﷺ telah memakaikan serban hitam kepada Hadhrat Abdul Rahman bin 'Auf apabila beliau dilantik sebagai panglima perang. Hadhrat Ka'ab bin Zuhair telah memberikan jubahnya kepada Bibi Ummu Khalid radhiyallahu ‘anhum. Hadhrat Pir Fazal 'Ali Qureshi rahimahullahu ketika dia berniat hendak menjadikan Pir Mina Sain quddisa sirruhu sebagai khalifahnya dia telah memberikan pakaiannya.

Hakikat Khirqat : pakaian mereka yang mahir urusan hati, mereka yang penuh mahabbat kecintaan dalam hatinya dan ahli makrifat itu penuh dengan rahmat dan keberkatan. Pakaian mereka boleh menjadi sebab bagi kesembuhan. Dalam Al-Quran ada kisah yang menceritakan tentang baju Hadhrat Yusuf 'alaihissalam. Ada juga juga kisah mengenai Bibi 'Asma radhiallahu 'anha, dan Hadhrat Habib Karim Muhammad ﷺ yang melalui keberkatan pakaian mereka banyak penyakit-penyakit menjadi sembuh.

*Terdapat perbezaan antara pakaian ahli dunia dan ahli taqwa

*Khirqat adalah simbol kehormatan dan kemegahan dari tuhan

*Khirqat adalah tanda kasih sayang dan cinta Syaikh

*Khirqat adalah sumber kesempurnaan

*Mursyid yang memiliki kekuatan hal keadaan faidhznya mempengaruhi pakaiannya

*Mursyid yang Shahibul hal pakaiannya mampu mengubah hal keadaan murid

*Khirqat boleh menaikkan tingkatan murid

*Khirqat membantu untuk mendapatkan akhlak mulia

*Khirqat menjadikan manusia benci kepada kemungkaran dan dosa

*Khirqat adalah perhiasan Ahli Batin

*Khirqat adalah pakaian yang menjadi tabir antara syaitan, nafsu dan salik

*Khirqat adalah Zhil bayang-bayang kewalian syaikh. Mursyid lagi wali memiliki naungan Zhil bayang-bayang

*Dengan memakai khirqat, maka syaitan akan menjauhinya

*Dengan khirqat, murid akan diwarnai dengan warna mursyidnya

*Apabila pakaian yang diberikan oleh para wali Allah dipakai pada badan, kesan luaran akan mempengaruhi dalamannya

*Khirqat akan mengubah kaifiyat hati

Buku Hadhrat Muhyiddin Ibn Al Arabi rahimahullahu "Al Khirqat" adalah buku yang terbaik dalam menghuraikan perkara ini. Di dalamnya telah diterangkan keutamaan khirqat dan kesan, buah-buahan dan faidahnya.

Jenis Khirqat : terdapat pelbagai jenis Khirqat

1. Khirqat Tabarruk

2. Khirqat Iradat

3. Khirqat Khilafat

1.Khirqat Tabarruk : seorang syaikh memberikan khirqat tabarruk ini kepada seseorang atas sebab telah menggembirakan hatinya, maka mubarak mudah-mudahan diberkati orang tersebut.

2.Khirqat Iradat : syaikh memberikan Khirqat Iradat ini kepada seorang murid, hamba, lagi Kamil sempurna, sepertimana Hadhrat Yusuf memberikan pakaiannya kepada Hadhrat Ya'qub ‘alaihimasallam

3.Khirqat Khilafat : ia adalah khilafat yang istimewa lagi penuh dengan keberkatan nisbah batini

Warna-Warna Khirqat : warna khirqat kadang-kadang hijau, kadang-kadang putih, kadang-kadang hitam dan terkadang merah dan merah jambu. Tetapi sebenarnya Syaikh akan memberikan khirqat mengikut warna-warna tersebut dengan melihat kesesuaian hal keadaan muridnya.

Kesan dari pakaian syaikh yang kamil :

Hadhrat Shah Gul Hasan penyusun Tazkirah Ghausiyah yang di dalamnya terdapat malfuzat Hadhrat Ghaus 'Ali Qalandar Panipatti quddisa sirruhuma dia menceritakan;

Di Shahjahanpur Hindustan India, ada seorang burzug tinggal di loteng. Ada seorang askar yang tinggal di kawasan kejiranannya. Burzug itu jatuh sakit kerana kes cirit birit. Askar itu menyangka bahawa faqir lagi darwish itu tidak mempunyai khadim atau orang yang bekerja untuknya. Maka dia telah berkhidmat untuknya dengan dahsyat sekali. Apabila waktu kematiannya seperti sudah semakin hampir, dia menyuruh askar itu membawa sebuah kotak yang ada di situ. Di dalamnya terdapat peti dan topi. Dia berkata “mursyid saya telah memberi saya khil'at(barang yang dia pernah pakai) ini, hari ini saya menyerahkannya kepada anda”. Tidak lama setelah itu burzug itu meninggal dunia, mereka pun memandikan dan mengebumikannya. Pada hari ketiga, orang-orang menyuruhnya untuk memakai khil'at itu. Setelah memakai khil'at tersebut, suasana hatinya berubah sehingga membuatkan dia sebak dan menangis. Dia telah melepaskan dunianya dan menjadi seorang yang 'abid lagi zahid.

Topi seorang darwish yang kamil :

Seorang wali Allah merasakan bahawa masa kematiannya sudah hampir. Maka dia telah meninggalkan tempat ibadatnya dan masuk ke dalam kota. Dia melihat seorang pemuda di hadapannya lalu dia memanggilnya : “saya akan dipanggil tidak lama lagi, tolong aturkan mandian dan pengebumian saya”. Dia berkata demikian dan meletakkan topinya di atas kepala pemuda itu lalu berbaring di atas tanah dan nyawanya pun melayang. Pemuda itu telah menguruskan mandian dan pengkafanannya. Setelah pulang dari mengebumikannya, hal keadaan dirinya telah berubah. Dia lalu mengasingkan diri dari orang ramai dan menyibukkan diri dalam beribadat kepada Allah. Berkat topi faqir itu telah menyebabkan suasana hatinya berubah.

3.Khilafat Ijtima’i :

Apabila seorang burzug telah memilih seorang murid atau anaknya sebagai khalifahnya pada masa hampir wafatnya, dan kemudian semua jemaahnya bersetuju dengan khilafatnya, maka ia disebut sebagai khilafat ijtima'i.

4.Khilafat Palsu :

1. Apabila seorang burzug meninggal dunia tanpa melantik seseorang menjadi khalifah dan penggantinya, ada adat bahawa waris burzug itu atau muridnya dijadikan khalifah atau sajjada nashin (pemimpin khanqah). Khalifah seperti ini tidak sah dan tidak boleh dipercaya disisi ahli sufi.

2. Apabila seorang burzug telah meninggal dunia dan tidak ada seorang pun yang menjadi khalifah atau pemimpin khanqahnya, maka ada ahli waris menjadi khalifah dengan pendapatnya sendiri dan mula menggelar dirinya sebagai khalifah syaikh. Ini pun adalah khilafat yang palsu. Dia tidak memiliki kelayakan untuk menisbatkan dirinya sebagai syaikh.

5.Khilafat Warisan:

Selepas kematian seorang syaikh dan setelah anaknya menguruskan pengebumiannya. Anaknya akan dipanggil sebagai Pir terutamanya anak sulung. Sama ada dia memiliki kelayakan untuk itu atau pun tidak. Hanya kerana kehebatan ayahnya telah menempatkan dia pada kedudukan itu. Para Masyaikh tidak menjadikan nisbat batin ini sebagaimana harta warisan dunia. Untuk mendapatkannya setiap orang perlulah melakukan usaha yang gigih. Terdapat banyak penyalahgunaan kedudukan Sajjadah Nashin (pemimpin khanqah) akibat dari melantik mereka yang tidak memiliki kelayakan. Disebabkan itu kesucian khanqah telah tercemar. Jemaah tariqat telah menjadi mangsa hawa nafsu dari pemimpinnya. Usaha yang dilakukan oleh para burzug seolah-olah tidak membuahkan hasil. Di mana yang dahulunya khanqah memiliki majlis-majlis zikir dan fikir siang dan malam, hari ini ritual dan majlis yang haram dan tidak islam telah diadakan. Menganggap khilafat dan Sajjadah Nashin sebagai warisan sama sekali tidak dibenarkan bagi ahli tariqat yang haq.

6.Khilafat Hakim (mengikut keputusan hakim)

Murshid tidak melantik sesiapa pun sebagai khalifah semasa hayatnya, dan selepas kematiannya tiada yang menduduki Sajjadah Nashin. Perkara itu sampai ke pengetahuan kerajaan. Kemudian mahkamah kerajaan telah melantik seseorang untuk menjadi Khalifah dan Sajjadah Nashin, maka perintah Al-Quran :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ 

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul-Nya dan ulil amri di kalangan kamu.

Menurut perintah ini, jika yang membuat keputusan adalah pemerintah, maka lantikan Khalifah dan Sajjadah Nashin tersebut dibenarkan bagi mereka, tetapi tidak sah di sisi Para Masyaikh, kerana latihan rohani seorang salik perlu kepada Syaikh pemimpin khanqah yang memiliki sanad sandaran. Fana nafs terhasil dengan bantuan mursyid, mursyid yang lemah akan menyebabkan lebih banyak kerosakan.

7. Khilafat Taklifi:

Adalah tidak betul untuk meminta khilafat daripada Mashaikh. Mereka tidak memberikan khilafat kepada orang yang memintanya. Tetapi jika murid meminta khilafat dengan bersungguh-sungguh atau ada seseorang yang mengesyorkannya dan dia mendapat khilafat, maka khilafat tersebut tidak mempunyai apa-apa makna.

8.Khilafat Uwaisi

Jika hubungan kerohanian salik dengan ruh seorang wali yang telah wafat kuat dan ahwal keadaan batinnya mencapai kesempurnaan berkat fuyudhzatnya, maka dia akan diberikan khilafat dari wali tersebut. Ulama sufi telah mengiktiraf khilafat seperti ini adalah sah dan benar, tetapi mereka telah menetapkan beberapa syarat untuknya. Perkara paling penting dari itu salik haruslah mempunyai batin yang suci sehingga dia dapat bertemu dengan ruh wali dan dapat terhasil limpahan faidhz daripadanya.

Kelayakan Khilafat :

Prasyarat kelayakan menjadi khalifah adalah berbeza mengikut silsilah yang berlainan. Di sisi Para Masyaikh Naqshband, murid itu tidak layak menjadi khalifah sehinggalah dia telah mencapai fana nafs. Fana Nafs membawa maksud bahawa keakuan pentingkan diri sendiri dan nafsu syahwat kebinatangan telah hilang. Begitu juga sifat-sifat keji seperti dusta, dengki, tamak, hasad, pemarah, sombong, ujub, riyak, cinta dunia dan lain-lain hendaklah disingkirkan daripadanya dan hendaklah diganti dengan sifat-sifat mahmudah seperti sabar, syukur, ridha, taslim, qanaah, cinta kepada Allah dan menjadi budak cinta kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, barulah dia layak menjadi khalifah.

Ulama sufi yang haq berkata bahawa apabila murid mencapai tahap Fana Fi Rasul dan menempati jabarut maka dibenarkan untuk memberinya khilafat. Mulanya tidaklah wajib, tetapi apabila murid sampai kepada Musyahadah Malakut dan Syuhud Zat, maka wajib diberikan khilafat kepadanya. 

Sebahagian Burzugan berkata bahawa apabila murid itu menyedari dan dapat membezakan antara Khatrah lintasan Rahmani dan Khatrah Syaitani maka dia layak menjadi khalifah. Tetapi apabila seorang mursyid mendapat izin daripada Allah atau menerima perintah daripada Rasulullah atau menerima isyarat daripada Pir Mursyidnya, maka hendaklah dia mengambil khilafat itu tanpa rasa takut dan risau. Telah menjadi Makmulat amalan sebahagian Burzugan untuk melakukan istikharah sebelum memberikan khilafat.

Rujukan : Tazkiratul Khulafa Ghaffariyah Hadhrat Shahibzadah Muhammad Karamullah Al Qadiri An Naqshband

والله أعلم بالصواب

سبحان الله وبحمده سبحانك اللهم وبحمدك أشهد أن لا إله إلا أنت أستغفرك وأتوب إليك


Disalin dan disusun oleh

Hamba faqir haqir la syai' umpama debu di telapak kaki para masyaikh

Azmye bin Asli 'ufiya 'anhu

Alamat : Kampung Kadalakan, Jalan Banjar, Keningau 89008, Sabah, Malaysia.

Sebarang sumbangan, sedekah dan hadiah bolehlah disalurkan ke akaun bank : 5648 4712 8095 (Maybank atas nama AZMYE). Whatsapp : +60 16 777 0714

Tiada ulasan: