Halaman

Translate

Selasa, 21 Mei 2024

Nasihat Haji Imdadullah Muhajir Makki قدس الله سره

KHULASAH NASIHAT HAJI IMDĀDULLAH MUHAJIR MAKKI Qaddasallahu Sirrahu

الحمد لله وكفى وسلام على عباده الذين اصطفى، اما بعد

Sebagai seorang salik, perkara yang pertama kamu kena buat adalah berpegang dengan akidah Ahlus Sunnah wal Jam'ah.

Hendaklah kamu belajar hukum hakam agama supaya kamu dapat menunaikan kewajipan kamu kepada Tuhan-Mu dan manusia lain.

Hendaklah kamu mengikuti Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad [Selawat dan Salam keatasnya] dan para sahabatnya [Semoga Allah meredhai mereka].

Hendaklah kamu meninggalkan sifat-sifat yang tercela. Seperti tamak [hirs], angan-angan [tul al-amal], pemarah [ghadab], dusta [kizbun], mengumpat [ghibah], bakhil [bukhl], dengki [hasad], menunjuk-nunjuk [riya], sombong [kibr], dan dendam [hiqd] .

Hendaklah kamu mengamalkan sifat-sifat yang terpuji. Seperti sabar [sabr], syukur [shukr], merasa cukup apa yang ada [qana'ah], ilmu [‘ilm], yakin [yaqin], menyerahkan segala urusan kepada Allah [tafwid], pergantungan kepada Allah [tawakkul], redha dengan ketetapan Allah [rida] dan menerima takdir [taslim].

Hendaklah kamu teguh dalam mengikuti syariat dan menjauhi segala perkara yang melanggar syariat [haram].

Hendaklah kamu bertaqwa dan wara'.

Hendaklah kamu beramal dengan sunnah pada setiap masa dan menjauhi semua perkara yang dilarang dan syubhat.

Jika kamu berbuat dosa, hendaklah kamu segera bertaubat, dan hendaklah membalasnya dengan melakukan amal soleh dan taubat. Jangan sekali-kali anda menangguhkan taubat.

Hendaklah kamu menunaikan solat lima waktu dengan berjemaah.

Selepas mengerjakan amalan fardhu, wajib, sunnah dan nafil, hendaklah kamu menyibukkan diri dengan apa yang telah diperintahkan oleh syaikh.

Kamu tidak sepatutnya bergantung pada doa Tawajjuh dari Syaikh saja, akan tetapi hendaklah memberi perhatian dengan sungguh-sungguh untuk mengisi qalb dengan zikir dan Mahabbat cinta Allah.

Apabila kamu merasai nikmat mengingatiNya hendaklah kamu bersyukur.

Semua pekerjaan hendaklah dilakukan semata-mata untuk mendapatkan keredhaan ilahi.

Kamu tidak seharusnya mencari ilham [ kashaf atau keajaiban [ karámah ].

Apabila kamu mengalami keluasan hati dan kelapangan [basath], hendaklah kamu bersyukur dan mengambil berat tentang batasan hukum ilahi.

Apabila kamu mengalami kesempitan hati [ qabaz ] janganlah kamu berputus asa tetapi teruslah bersemangat.

Hendaklah kamu menganggap amalan kamu tidak layak diterima dan menganggap diri kamu patut dipersalahkan atas kekurangan itu.

Kamu tidak seharusnya mendedahkan rahsia kewalian yang pelik kepada orang yang tidak dikenali.

Jangan kamu mendedahkan pengalaman kamu kepada sesiapa selain daripada Syaikh kamu.

Hendaklah menjauhi dunia dan segala isi di dalamnya; jika tidak seribu tahun latihan kerohanian pun tidak akan berguna.

Hati umpama cermin; maka peliharalah ia dari gambaran selainNya.

Hendaklah kamu sentiasa memohon perlindungan daripada cinta akan kedudukan dan keinginan untuk menjadi ketua, kerana ia adalah sebuah tipu daya.

Masa adalah rahmat; gunakanlah dengan bijak dan jangan disia-siakan dalam kelalaian, kerana masa yang telah berlalu tidak dapat diganti.

Hendaklah kamu bersungguh-sungguh berada di jalan ini, dan menjauhkan diri dari mengatur hal-hal keduniaan.

Jauhkan diri daripada para pengubahsuai tariqat dan sufi yang tidak ortodoks [tidak mengikut jalan Para Masyaikh], walaupun mereka mampu melakukan hal-hal yang mencarik adat.

Bergaullah dengan sesama manusia mengikut keperluan dan hendaklah berbudi pekerti serta sentiasa merendahkan diri.

Sentiasalah tawadhu merendah diri dan jangan membantah sesiapa.

Hendaklah berlemah lembut dalam pertuturan dan melazimi bersunyi diri dan berseorangan.

Hendaklah tabah dalam melakukan amal dengan sepenuh hati.

Jangan biarkan gangguan masuk ke dalam hati dan hendaklah serahkan segala urusan kepada Allah saja.

Pelihara hati kamu dengan kuat daripada godaan orang lain.

Hendaklah mewajibkan diri dalam membantu orang lain dalam urusan agama.

Pertama sekali hendaklah perbetulkan niat dan kemudian baru mulakan sebarang amal.

Makanlah dengan sederhana; jangan melampaui batas sehingga terlebih dan jangan pula terlalu sedikit sehingga lemah dalam melakukan amal.

Hendaklah mengamalkan sikap sederhana dalam semua urusan.

Adalah lebih baik bagi kamu untuk bekerja mencari rezeki. Pergantungan sepenuhnya kepada Allah untuk rezeki adalah dibenarkan dengan syarat kamu tidak mengharap pada makhluk.

Jaga kesucian hati daripada keterikatan candu ketagihan kepada selain Dia.

Jangan takut dan jangan berharap daripada sesiapa pun selain Dia.

Hendaklah rindu serta tidak sabar untuk bertemu dengan Allah, rindulah kepada-Nya tanpa henti.

Hendaklah bersama Allah setiap masa.

Bersyukurlah dengan apa yang dikurniakanNya kepadamu; kecil atau pun besar.

Jangan berputus asa dengan kemiskinan, tetapi anggaplah itu sebagai penghormatan untuk kamu kerana Dia telah memberi keistimewaan kepada kamu dengan kedudukan para nabi dan teman Allah.

Hendaklah bersikap lemah lembut dan belas kasihan dengan sesama salik. Maafkanlah kesalahan mereka dan terimalah alasan mereka.

Hendaklah sentiasa menjauhkan diri dari mengumpat.

Abaikan kekurangan orang lain tetapi jangan abaikan kekurangan diri sendiri.

Anggap semua orang lebih baik daripada diri sendiri, dan jangan bertengkar dengan sesiapa pun, walaupun kamu berada di atas kebenaran.

Kamu seharusnya berkhidmat kepada orang lain dan menjadi tuan rumah.

Bersahabatlah dengan orang-orang fakir dan miskin, dan berkhidmatlah kepada para alim ulama dan orang-orang yang soleh dengan penuh hormat dan kesungguhan.

Cuba renungkan, apa yang ada padamu dan apa yang tiada adalah perkara yang sama. Ridhalah dengan apa yang anda miliki.

Utamakan orang lain daripada diri sendiri.

Hendaklah mencintai untuk berlapar dan dahaga kerana ia adalah hidangan dari Allah.

Kurangkan ketawa dan banyakkan menangis.

Takutlah akan azab Tuhan maka Dia tidak akan mengabaikan kamu.

Ingat mati sebanyak-banyaknya, kerana ia akan memutuskan hubungan dengan selain Dia.

Mintalah dijauhkan daripada Neraka, kerana ia adalah tempat perpisahan dengan Tuhan. Dan carilah Syurga kerana ia adalah tempat tinggal yang dekat dengan Tuhan.

Hisablah diri kamu setiap hari selepas solat subuh dan solat maghrib dengan mengimbau kembali apa yang telah berlaku pada hari itu. Syukur kepada-Nya atas perbuatan baik yang telah kamu lakukan dan memohon ampun kepada-Nya atas segala dosa yang kamu lakukan.

Hendaklah sentiasa bersikap siddiq benar dan makan apa yang halal sebagai sifat yang sentiasa diperlukan.

Elakkan diri dari segala perhimpunan yang berunsur hiburan dan menyalahi syariat.

Hendaklah menjauhi semua norma budaya jahiliyah.

Cinta, benci, berkawan dan bermusuhan, kerana Allah.

Jangan mencederakan sesiapa pun dan jangan terlalu berharap terhadap mereka.

Hendaklah sentiasa kekal sederhana dan elakkan banyak berkata-kata.

Janganlah terlalu gelisah dan amalkan sikap mampu berhadapan dengan bermacam situasi.

Tetaplah taat kepada Tuhanmu, bertaqwa dan menjaga maruah.

Sifat orang yang bertaqwa adalah tidak tertipu apabila merasa telah mencapainya atau menganggap diri kamu seorang yang baik.

Hendaklah kamu menziarahi kubur orang soleh dan juga orang awam yang beragama Islam. Sedekahkanlah pahala bacaan kepada mereka.

Amalkan adab dan taatilah Syaikh kamu kerana dia adalah pewaris Nabi [ semoga Allah memberkatinya dan memberikan dia kesejahteraan ].

Teruslah berdoa untuk Para Syaikh-Syaikh tariqat kerana mereka adalah wasilah perantara kamu kepada Allah.

والله اعلم بالصواب

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لا اله الا انت استغفرك واتوب اليك

Disalin dan Disusun oleh

Faqir Haqir La Sya' Miskin Fani Azmye bin Asli 'afa Allahu 'anhu

Alamat : Kampung Kadalakan, Jalan Banjar, Keningau 89008, Sabah, Malaysia.

Tiada ulasan: