Halaman

Translate

Sabtu, 25 Mei 2024

Mercy Ocean [6] Cinta Kepada Kematian

Lautan Rahmat [6] Pelajaran Daripada Mawlana 'Abdullah Faiz Ad Daghestani An Naqshbandi, susunan Hadhrat Sultanul Auliya Syaikh Nazim Al Haqqani 

قدس الله سرهما العزيز

***

Semua bintang telah ditakdirkan untuk mengelilingi bintang kutub. Begitulah juga Wali Qutb telah ditakdirkan untuk semua wali mengelilinginya. Wali Qutb adalah Sultan Auliya, Khalifah dan wakil Allah yang sebenar di muka bumi. Inilah darjat yang paling tinggi di antara para wali. Arahan dari Wali Qutb adalah menepati arahan dari Allah, dan keinginannya adalah selari dengan keinginan Allah. Mengapa sedemikian? Kerana dia tidak lagi tunduk kepada hawa nafsunya.

Seluruh kehendak Allah ada bersamanya. Dia tidak memiliki sebarang hobi, seluruh pekerjaannya hanyalah untuk Allah. Hanya orang seperti ini yang boleh menjadi Wali. 

Amatlah sukar untuk kekal di Maqam ini sepertimana kekalnya kedudukan bintang kutub. Grandshaykh kami pernah bercerita tentang seorang Wali yang menduduki di Maqam itu selama empat puluh tahun, tiada seorang Wali pun yang mampu menandinginya. Ini adalah tanda kehebatan ahwal rohaninya, dan pada ketika mengalami ahwal rohani inilah telah terkeluarlah kata-kata ini daripada mulutnya. Kata-kata ini adalah tidak melanggar syariat. Wali tersebut adalah Syaikh kepada Grandshaykh kami, dan seperti inilah tradisinya yang telah sampai kepada kami.

Dia berkata, "Jika seseorang tidak mengingati maut dan hari akhirat sekurang-kurangnya empat kali sehari, imannya terlalu lemah untuk dibina. Dengan mengingati maut akan memudahkan jiwa terbang menuju ke syurga dan alam ketuhanan."

Apakah maksud daripada kematian? Maksudnya adalah untuk tidak dapat kelihatan di bumi ini; hilang daripadanya dan muncul semula di Syurga. Inilah erti kematian disisi para wali. Mengingatinya akan menambahkan kekuatan rohani kita.

Inilah haqiqat sebenar kematian. Pada masa kita hidup di bumi, kita sebenarnya sedang menuju ke sana. Apabila roh anda meninggalkan jasad anda, dengan serta-merta roh kita akan menuju ke Syurga. Jiwa kita sekarang sedang menunggu kematian, sebagaimana burung dalam sangkar menunggu untuk terbang bebas. Dia sentiasa menunggu dengan penuh harapan bilakah tiba masanya untuk dia boleh terbang ke Syurga. 

Apabila seseorang mengetahui hakikat kematian maka dia tidak lagi akan takut kepada kematian, akan tetapi dia sentiasa menunggunya. Ilmu pengetahuan tentang ini menjadikan kita cinta untuk menuju ke tempat tinggal kita di syurga, dan juga mencintai jalan untuk menujunya. Nabi kita عليه الصلاة والسلام telah bersabda, "Cara untuk kamu bertemu dengan Tuhanmu ialah kematian. Jika kamu tidak menyukai kematian, maka sebenarnya kamu tidak ingin bertemu dengan Tuhanmu!" 

Oleh itu, semua orang yang benar-benar beriman pasti mencintai kematian, kerana ia adalah jalan menuju ke Syurga. Memikirkan tentang kematian akan menambahkan kekuatan iman kita. Mencintai Tuhan adalah tanda kuatnya iman dan rohani kita. Jika anda tidak mempunyai sedikit pun cinta kepada Allah, maka anda sebenarnya tidak memiliki iman dan itu adalah mustahil.

***


Diterjemahkan ke dalam bahasa melayu oleh
'Abdu Dhaif Faqir Haqir La Syai' Miskin Fani 
Azmye bin Asli عفى الله عنه ولوالديه ولمشائخه


Tiada ulasan: