Halaman

Translate

Selasa, 28 Mei 2024

Mercy Ocean [7] Jangan Percaya Pada Orang Yang Tidak Sepertimu

Lautan Rahmat

Pelajaran yang didapat daripada Hadhrat Syaikh 'Abdullah Faiz Ad Dagestani An Naqshbandi susunan Hadhrat Sultanul Auliya Syaikh Nazim Al Haqqani قدس سرهما.


Syaikh 'Abdullah berkata, "Jika seekor kutu menimpa kaki kamu dan kamu berkata tentangnya, “Tidak mengapa, dia cuma berada di kaki aku”- tidak lama lagi kamu akan mendapatinya, bukan di kaki kamu sudah, tetapi di rambut kepala kamu !".

Cerita ini memberi petunjuk, kita hendaklah sedar, bahawa manusia ada dua jenis. Orang yang baik akan menunjukkan belas kasihan dan toleransi kepada semua. Mereka yang berakhlak buruk pula senang melihat orang lain sengsara. Mereka memberi masalah kepada semua orang. Orang jahat datang kepada orang baik dan berkata, “Biarlah kami menjadi penjaga pintu kamu”. Apabila orang baik menerima mereka dan berkata, “baiklah, boleh, tidak mengapa menerimanya”maka orang jahat itu akan merampas semua yang ada pada orang baik tersebut. 

Kamu mesti berhati-hati. Jangan sekali-kali bertolak ansur dengan kejahatan atau memberi sebarang kuasa. (Iran, sebagai contoh, membenarkan Khomeini kembali berkuasa dan kemudian semuanya habis selesai !) Ia seperti memberi kebenaran kepada ular dan kala jengking untuk tinggal di rumah kamu. Demokrasinya membenarkan musuh untuk bekerja di dalam kawasan sempadan. Dalam Quran ada menceritakan, "Jangan percaya orang yang bukan dalam agama, perangai, atau cara kamu.¹" 

Walaupun dia seorang Muslim, jika dia tidak berfikir dan memiliki perasaan seperti kamu, jangan percayakan dia.


¹.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ لا يَأْلُونَكُمْ خَبَالا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الآيَاتِ إِنْ كُنْتُمْ تَعْقِلُونَ


“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (karena) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya.”

[Surah Ali Imran ayat 118]



العبد الضعيف‌ الفقير الحقير اللا شيء أومڤما دبو دتلافق كاكي ڤارا مشائخ
حضرة الفقير عزمي بن أصلي غفر الله ذنوبه وستر عيوبه


Sabtu, 25 Mei 2024

Mercy Ocean [6] Cinta Kepada Kematian

Lautan Rahmat [6] Pelajaran Daripada Mawlana 'Abdullah Faiz Ad Daghestani An Naqshbandi, susunan Hadhrat Sultanul Auliya Syaikh Nazim Al Haqqani 

قدس الله سرهما العزيز

***

Semua bintang telah ditakdirkan untuk mengelilingi bintang kutub. Begitulah juga Wali Qutb telah ditakdirkan untuk semua wali mengelilinginya. Wali Qutb adalah Sultan Auliya, Khalifah dan wakil Allah yang sebenar di muka bumi. Inilah darjat yang paling tinggi di antara para wali. Arahan dari Wali Qutb adalah menepati arahan dari Allah, dan keinginannya adalah selari dengan keinginan Allah. Mengapa sedemikian? Kerana dia tidak lagi tunduk kepada hawa nafsunya.

Seluruh kehendak Allah ada bersamanya. Dia tidak memiliki sebarang hobi, seluruh pekerjaannya hanyalah untuk Allah. Hanya orang seperti ini yang boleh menjadi Wali. 

Amatlah sukar untuk kekal di Maqam ini sepertimana kekalnya kedudukan bintang kutub. Grandshaykh kami pernah bercerita tentang seorang Wali yang menduduki di Maqam itu selama empat puluh tahun, tiada seorang Wali pun yang mampu menandinginya. Ini adalah tanda kehebatan ahwal rohaninya, dan pada ketika mengalami ahwal rohani inilah telah terkeluarlah kata-kata ini daripada mulutnya. Kata-kata ini adalah tidak melanggar syariat. Wali tersebut adalah Syaikh kepada Grandshaykh kami, dan seperti inilah tradisinya yang telah sampai kepada kami.

Dia berkata, "Jika seseorang tidak mengingati maut dan hari akhirat sekurang-kurangnya empat kali sehari, imannya terlalu lemah untuk dibina. Dengan mengingati maut akan memudahkan jiwa terbang menuju ke syurga dan alam ketuhanan."

Apakah maksud daripada kematian? Maksudnya adalah untuk tidak dapat kelihatan di bumi ini; hilang daripadanya dan muncul semula di Syurga. Inilah erti kematian disisi para wali. Mengingatinya akan menambahkan kekuatan rohani kita.

Inilah haqiqat sebenar kematian. Pada masa kita hidup di bumi, kita sebenarnya sedang menuju ke sana. Apabila roh anda meninggalkan jasad anda, dengan serta-merta roh kita akan menuju ke Syurga. Jiwa kita sekarang sedang menunggu kematian, sebagaimana burung dalam sangkar menunggu untuk terbang bebas. Dia sentiasa menunggu dengan penuh harapan bilakah tiba masanya untuk dia boleh terbang ke Syurga. 

Apabila seseorang mengetahui hakikat kematian maka dia tidak lagi akan takut kepada kematian, akan tetapi dia sentiasa menunggunya. Ilmu pengetahuan tentang ini menjadikan kita cinta untuk menuju ke tempat tinggal kita di syurga, dan juga mencintai jalan untuk menujunya. Nabi kita عليه الصلاة والسلام telah bersabda, "Cara untuk kamu bertemu dengan Tuhanmu ialah kematian. Jika kamu tidak menyukai kematian, maka sebenarnya kamu tidak ingin bertemu dengan Tuhanmu!" 

Oleh itu, semua orang yang benar-benar beriman pasti mencintai kematian, kerana ia adalah jalan menuju ke Syurga. Memikirkan tentang kematian akan menambahkan kekuatan iman kita. Mencintai Tuhan adalah tanda kuatnya iman dan rohani kita. Jika anda tidak mempunyai sedikit pun cinta kepada Allah, maka anda sebenarnya tidak memiliki iman dan itu adalah mustahil.

***


Diterjemahkan ke dalam bahasa melayu oleh
'Abdu Dhaif Faqir Haqir La Syai' Miskin Fani 
Azmye bin Asli عفى الله عنه ولوالديه ولمشائخه


Mercy Ocean [5] Tentang Merokok

Lautan Rahmat [5] Pelajaran daripada Mawlana 'Abdullah Faiz Ad Daghestani An Naqshbandi yang disusun oleh Hadhrat Sultanul Auliya' Syaikh Nazim Al Qibrisi Al Haqqani قدس الله سرهما 

***

Merokok adalah perbuatan yang tidak disukai di sisi Allah!

***


Diterjemahkan oleh
Faqir Haqir La Syai' Miskin umpama debu di telapak kaki Para Masyaikh
Azmye bin Asli عفى الله عنه ولوالديه ولمشائخه





Khamis, 23 Mei 2024

Melancap Adalah Dosa Besar karangan Maulana Shah Hakeem Muhammad Akhtar قدس الله سره الأقداس

Melancap Adalah Dosa Besar karangan Maulana Shah Hakeem Muhammad Akhtar قدس الله سره الأقداس

1. Nabi ﷺ telah bersabda:

“Orang yang berkahwin dengan tangan mereka adalah terkutuk.”Orang yang melancap dirinya telah dilaknat oleh Allah dan Rasul-Nya dan pada hari kiamat nanti, tangan mereka akan hamil.

2. Ia adalah satu cara untuk merosakkan kehidupan seseorang di dunia dan Akhirat.

3. Ia mengurangkan kesihatan seseorang.

4. Ia adalah dosa besar dan jika tidak bertaubat daripada dosa besar, maka orang itu akan terjerumus ke dalam ancaman dan dihumban ke dalam Neraka.

5. Orang ini berpotensi tidak mampu berkahwin kerana air maninya akan menjadi nipis.

6. Dia mungkin akan mendapat banyak penyakit, seperti gonorea dan chancrous, dsb.

7. Disebabkan tabiat jahat ini, akhirnya orang itu terjerumus zina atau liwat.

8. Tabiat jahat ini menimpa seseorang akibat memandang dengan pandangan nafsu berahi.  Oleh kerana itu disebutkan dalam Al-Qur'an bahawa orang yang menjaga pandangannya akan dapat menjaga kemaluannya, dari sini kita dapat mengukur bahawa orang yang melemparkan pandangan yang penuh nafsu tidak akan dapat menjaga kemaluannya.  Akibatnya, mereka tidak mampu mengawal diri mereka sendiri.

9. Orang itu menjadi lemah secara seksual dan mental seperti kurang daya ingatan, kekurangan darah, resolusi mereka menjadi lemah, jantung mereka menjadi lemah sehinggakan jika kucing melompat dari satu tempat ke tempat lain, jantung orang ini akan terkejut atau mula berdegup lebih laju seolah-olah singa baru melompat di hadapannya.

10. Sinaran dan kemegahan wajah seseorang itu semakin berkurangan, lingkaran hitam mula terbentuk di sekeliling mata dan kutukan pelik menimpa orang ini kerana orang ini terlibat dalam tindakan terkutuk;  mereka menjadi pucat, mata mereka masuk ke dalam, mereka mula mengalami perubahan mood. Akibatnya, badan, hati dan minda mereka kurang kawalan seperti menuruni lereng yang licin menuju kemusnahan.

11. Jika seseorang tidak awal berhenti dari tabiat ini, maka pada masa mudanya mereka mengalami penyakit inkontinensia pundi kencing.

12. Disebabkan oleh sentuhan yang keras yang tidak sepatutnya, saraf, arteri dan urat semuanya cenderung mati dan darah tidak mengalir dengan baik ke organ kemaluan tersebut, yang menyebabkan organ tersebut menjadi lemas dan orang itu tidak lagi mempunyai keupayaan untuk melakukan persetubuhan. Mereka mungkin akan mengalami mati pucuk atau tidak tahan lama, dan dengan itu mereka akan menghadapi rasa malu yang besar di hadapan isteri, masyarakat dan perkara itu boleh menyebabkan perceraian.

13. Ejakulasi berulang kali menyebabkan air mani seseorang menjadi sangat nipis, yang menyebabkan seseorang kehilangan kejantanan [mandul].

14. Kadang-kadang hanya bergesel pada pakaian seseorang atau hanya memikirkan persetubuhan dengan isteri boleh menyebabkan ejakulasi. Kemaluan seseorang boleh menjadi bengkok. Ia mungkin tumbuh dalam lilitan dari hadapan dan kemudian ke arah belakang yang menyebabkan seseorang mungkin tidak mampu sepenuhnya melakukan persetubuhan.

15. Ingatan seseorang menjadi lemah, mereka sering mengalami sakit kepala, disebabkan oleh aktiviti berat yang kecil;  mereka mungkin mengalami buta sementara, berpeluh sejuk, dan kebimbangan [anxiety].

16. Kadang-kadang air mani menjadi tidak terkawal menyebabkan fikiran menjadi lemah, tidak tertarik dan berminat untuk belajar dan apa sahaja yang dipelajari, mereka tidak dapat kekal lama dalam pelajaran.


Solusi Ramuan Agar Berhenti Dari Melancap/ Masturbasi/ Onani :

1. Ubat utama untuk membersihkan diri daripada sebarang kejahatan ialah himmah, iaitu satu keazaman seseorang. Tanpa keazaman yang kuat, maka tiadalah ubatnya.  Setiap kali Nafs seseorang cuba melibatkan seseorang dalam dosa tertentu maka lawanlah ia seolah-olah seseorang itu hendak melawan musuh sepanjang hayatnya. Begitu juga, seseorang harus bertekad untuk menyelamatkan imannya sebagaimana mereka akan menyelamatkan nyawanya sendiri.  Mereka harus bertekad sedemikian rupa sehingga mereka sanggup menyerahkan nyawa mereka, tetapi tidak sanggup untuk melakukan dosa. Pada hari seseorang mempunyai keazaman seperti ini maka tabiat jahat ini akan hilang. Juga, seseorang harus berusaha semaksimal mungkin untuk tidak berada dalam bersendirian.

2. Seseorang harus merenungkan ini bahawa Nabi ﷺ telah bersabda, lebih kurang mafhumnya ialah, orang yang melancap adalah terkutuk.

3. Renungkan keaiban yang akan dirasai pada hari kiamat, apabila orang ini akan dihadapkan dalam keadaan tangannya hamil di hadapan Allah dan Rasul-Nya.

4. Renungkan semua kemudaratan yang disebutkan dalam bahagian awal.

5. Sedar bahawa perbuatan hina ini hanyalah nikmat kesenangan yang tidak kekal lama.

6. Allah bersama kita sepanjang masa.

7. Renungkan hakikat bahawa Allah sedang memerhati kita sepanjang masa.

8. Tabiat jahat ini disebabkan oleh kutukan daripada memandang sesuatu dengan pandangan berahi. Oleh itu, seseorang itu tidak seharusnya melihat apa-apa bahan lucah dan tidak juga mendekati gambar di akhbar, di internet, kabel, televisyen, VCR, DVD dsb. sehingga menerima email yang terkandung bahan lucah pun harus dia elakkan, jika tidak, bayangan lucah secara rawak akan masuk ke dalam fikiran seseorang dan akan menyebabkan haba panas berkembang dalam badan seseorang menyebabkan orang itu akhirnya melancap.

9. Seseorang itu tidak seharusnya bersendirian sebaliknya mereka hendaklah bersuhbah dengan orang soleh.

10. Seseorang hendaklah mengambil berat untuk duduk bersama orang-orang soleh dengan syarat mereka memberitahu orang soleh tentang keadaan mereka dan sanggup melaksanakan arahan dari orang soleh itu.

11. Mencari Mursyid kerohanian dan mendenda diri sendiri dengan mengeluarkan duit supaya dia merasa sakit dan menyesal di dalam hatinya. Hukuman ini sebaiknya dalam bentuk sedekah. Dapatkan nasihat dari Mursyid rohani yang pakar. Seseorang juga harus berasa menyesal tentang betapa dia telah mengecewakan hati Mursyid rohaninya.

12. Seseorang harus rela menyerahkan nyawanya, tetapi tidak untuk melakukan dosa.  Keadaan hati seperti ini hanya boleh dibangunkan dengan duduk berada dalam kumpulan orang-orang soleh, oleh itu mulalah untuk menerima kehadiran kumpulan orang-orang soleh.

13. Jaga pandangan dan jaga hati, kerana bergantung semata-mata dengan Mursyid rohani, Tawajjuh dan persahabatan dengan orang-orang soleh tidaklah memadai. Oleh itu, seseorang harus melaksanakan semua nasihat yang diterima daripada Mursyidnya mengenai cara menjaga pandangan dan menjaga hati.

14. Sekiranya dia terjebak dalam perlakuan terkutuk ini, maka setiap kali dia melakukannya hendaklah dia mendenda diri dengan melakukan solat-solat sunat sekurang-kurangnya dua puluh rakaat atau sedekah dengan bilangan yang banyak sehingga Nafs merasa terbeban.

*Siap diterjemahkan pada 14 Zulqa'dah 1445 Hijriah bertepatan 23 May 2024 Masihi pukul 6:06 petang di Surau An-Nur Kampung Kadalakan, Jalan Banjar, Keningau 89008, Sabah, Malaysia.


Faqir Haqir La Syai' Miskin Fani Umpama Debu Di Telapak Kaki Para Masyaikh 
Azmye bin Asli عفى الله عنه ولوالديه


Selasa, 21 Mei 2024

Mercy Ocean [4] Melawan Hawa Nafsu

Lautan Rahmat [4]

الحمد لله وكفى وسلام على عباده الذين اصطفى، اما بعد

Hadis mengatakan, "Jalan menuju ke syurga dipenuhi dengan banyak perkara yang tidak disukai oleh nafsu. Manakala jalan ke neraka pula penuh dengan hawa nafsu dan keseronokan."

Pada suatu ketika, waktu itu adalah hari yang sangat sejuk di Damsyik pada waktu solat subuh. Grandsyaikh berkata kepada orang-orang yang telah berkumpul di masjid, "Oleh kerana kamu telah bersabar di sini dalam keadaan kesejukan, demi Tuhan, ketahuilah bahawa Allah Ta'ala menciptakan kehangatan api neraka yang dengan lima puluh tahun jarak dari kamu pun sudah boleh merasainya. Jadi bersabarlah untuk berada di sini dalam beberapa minit!" 

Sabar dalam melawan segala apa yang disukai oleh hawa nafsu. Terdapat tiga jenis sabar:

Pertama ialah sabar dengan ketidakselesaan fizikal, seperti bangun pada waktu pagi yang sejuk untuk solat, mengambil air sejuk untuk berwudhu, menunggu dalam saf barisan, tidak selesa jika sakit, melakukan pekerjaan yang sukar, dan sebagainya. Sabar dan istiqamah dalam beribadah ketika mengalami kesukaran seperti ini adalah sangat berharga di sisi Allah.

Jenis kesabaran yang kedua adalah lebih berharga lagi, iaitu kesabaran untuk menjauhi perkara yang dilarang. Apabila anda melihat seorang wanita bukan mahram sebagai contoh, katakanlah, "Wahai nafsuku! Ini adalah adikku! Bagaimana aku boleh memandangnya dengan pandangan yang penuh nafsu?" Mengenai kesabaran seperti ini ada hadis menyebutkan: "Hidup sebagai orang biasa dan menjauhi yang haram adalah lebih berharga daripada ibadah semua malaikat, manusia, dan jin sepanjang zaman!"

Jenis sabar yang ketiga adalah yang terbaik sekali. Iaitu bersabar ketika ada orang yang menyusahkan kamu. Dalam Quran ada menceritakan: 

"Dan Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain. "

Quran [Surah Furqan ayat 20]

Kesabaran adalah perkara paling penting dalam kehidupan seorang manusia. Jika seseorang mempunyai kesabaran, seluruh kebaikan ada padanya. Pandangan Allah sentiasa tertumpu kepada kamu... adakah kamu ingin bersabar?

والله اعلم بالصواب، سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لا اله الا انت استغفرك واتوب اليك


الفقير إلى رحمة ربه الطيف
كمڤوغ كدالكن، جالن بنجار كنيغاو ٨٩٠٠٨، صباح، ماليزيا


Mercy Ocean [3] Rahsia Ketuhanan

Lautan Rahmat [3]

الحمد لله وكفى وسلام على عباده الذين اصطفى، اما بعد

Penerangan ini mempunyai hubungan dengan ilmu pengetahuan sepertimana peta yang pada hakikatnya mempunyai negara yang wujud adanya. Banyak rahsia yang disimpan tentang hari yang akan datang. Grandshaykh kami mengatakan bahawa banyak rahsia Al-Quran tidak boleh diceritakan sekarang dan tidak boleh membantah perkara ini pada Tuhan yang Maha Besar.

والله اعلم بالصواب

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لا اله الا انت استغفرك واتوب اليك


Faqir Haqir Azmye Asli 'ufiya 'anhu
Kampung kadalakan, Jalan Banjar, Keningau 89008, Sabah, Malaysia



Nasihat Haji Imdadullah Muhajir Makki قدس الله سره

KHULASAH NASIHAT HAJI IMDĀDULLAH MUHAJIR MAKKI Qaddasallahu Sirrahu

الحمد لله وكفى وسلام على عباده الذين اصطفى، اما بعد

Sebagai seorang salik, perkara yang pertama kamu kena buat adalah berpegang dengan akidah Ahlus Sunnah wal Jam'ah.

Hendaklah kamu belajar hukum hakam agama supaya kamu dapat menunaikan kewajipan kamu kepada Tuhan-Mu dan manusia lain.

Hendaklah kamu mengikuti Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad [Selawat dan Salam keatasnya] dan para sahabatnya [Semoga Allah meredhai mereka].

Hendaklah kamu meninggalkan sifat-sifat yang tercela. Seperti tamak [hirs], angan-angan [tul al-amal], pemarah [ghadab], dusta [kizbun], mengumpat [ghibah], bakhil [bukhl], dengki [hasad], menunjuk-nunjuk [riya], sombong [kibr], dan dendam [hiqd] .

Hendaklah kamu mengamalkan sifat-sifat yang terpuji. Seperti sabar [sabr], syukur [shukr], merasa cukup apa yang ada [qana'ah], ilmu [‘ilm], yakin [yaqin], menyerahkan segala urusan kepada Allah [tafwid], pergantungan kepada Allah [tawakkul], redha dengan ketetapan Allah [rida] dan menerima takdir [taslim].

Hendaklah kamu teguh dalam mengikuti syariat dan menjauhi segala perkara yang melanggar syariat [haram].

Hendaklah kamu bertaqwa dan wara'.

Hendaklah kamu beramal dengan sunnah pada setiap masa dan menjauhi semua perkara yang dilarang dan syubhat.

Jika kamu berbuat dosa, hendaklah kamu segera bertaubat, dan hendaklah membalasnya dengan melakukan amal soleh dan taubat. Jangan sekali-kali anda menangguhkan taubat.

Hendaklah kamu menunaikan solat lima waktu dengan berjemaah.

Selepas mengerjakan amalan fardhu, wajib, sunnah dan nafil, hendaklah kamu menyibukkan diri dengan apa yang telah diperintahkan oleh syaikh.

Kamu tidak sepatutnya bergantung pada doa Tawajjuh dari Syaikh saja, akan tetapi hendaklah memberi perhatian dengan sungguh-sungguh untuk mengisi qalb dengan zikir dan Mahabbat cinta Allah.

Apabila kamu merasai nikmat mengingatiNya hendaklah kamu bersyukur.

Semua pekerjaan hendaklah dilakukan semata-mata untuk mendapatkan keredhaan ilahi.

Kamu tidak seharusnya mencari ilham [ kashaf atau keajaiban [ karámah ].

Apabila kamu mengalami keluasan hati dan kelapangan [basath], hendaklah kamu bersyukur dan mengambil berat tentang batasan hukum ilahi.

Apabila kamu mengalami kesempitan hati [ qabaz ] janganlah kamu berputus asa tetapi teruslah bersemangat.

Hendaklah kamu menganggap amalan kamu tidak layak diterima dan menganggap diri kamu patut dipersalahkan atas kekurangan itu.

Kamu tidak seharusnya mendedahkan rahsia kewalian yang pelik kepada orang yang tidak dikenali.

Jangan kamu mendedahkan pengalaman kamu kepada sesiapa selain daripada Syaikh kamu.

Hendaklah menjauhi dunia dan segala isi di dalamnya; jika tidak seribu tahun latihan kerohanian pun tidak akan berguna.

Hati umpama cermin; maka peliharalah ia dari gambaran selainNya.

Hendaklah kamu sentiasa memohon perlindungan daripada cinta akan kedudukan dan keinginan untuk menjadi ketua, kerana ia adalah sebuah tipu daya.

Masa adalah rahmat; gunakanlah dengan bijak dan jangan disia-siakan dalam kelalaian, kerana masa yang telah berlalu tidak dapat diganti.

Hendaklah kamu bersungguh-sungguh berada di jalan ini, dan menjauhkan diri dari mengatur hal-hal keduniaan.

Jauhkan diri daripada para pengubahsuai tariqat dan sufi yang tidak ortodoks [tidak mengikut jalan Para Masyaikh], walaupun mereka mampu melakukan hal-hal yang mencarik adat.

Bergaullah dengan sesama manusia mengikut keperluan dan hendaklah berbudi pekerti serta sentiasa merendahkan diri.

Sentiasalah tawadhu merendah diri dan jangan membantah sesiapa.

Hendaklah berlemah lembut dalam pertuturan dan melazimi bersunyi diri dan berseorangan.

Hendaklah tabah dalam melakukan amal dengan sepenuh hati.

Jangan biarkan gangguan masuk ke dalam hati dan hendaklah serahkan segala urusan kepada Allah saja.

Pelihara hati kamu dengan kuat daripada godaan orang lain.

Hendaklah mewajibkan diri dalam membantu orang lain dalam urusan agama.

Pertama sekali hendaklah perbetulkan niat dan kemudian baru mulakan sebarang amal.

Makanlah dengan sederhana; jangan melampaui batas sehingga terlebih dan jangan pula terlalu sedikit sehingga lemah dalam melakukan amal.

Hendaklah mengamalkan sikap sederhana dalam semua urusan.

Adalah lebih baik bagi kamu untuk bekerja mencari rezeki. Pergantungan sepenuhnya kepada Allah untuk rezeki adalah dibenarkan dengan syarat kamu tidak mengharap pada makhluk.

Jaga kesucian hati daripada keterikatan candu ketagihan kepada selain Dia.

Jangan takut dan jangan berharap daripada sesiapa pun selain Dia.

Hendaklah rindu serta tidak sabar untuk bertemu dengan Allah, rindulah kepada-Nya tanpa henti.

Hendaklah bersama Allah setiap masa.

Bersyukurlah dengan apa yang dikurniakanNya kepadamu; kecil atau pun besar.

Jangan berputus asa dengan kemiskinan, tetapi anggaplah itu sebagai penghormatan untuk kamu kerana Dia telah memberi keistimewaan kepada kamu dengan kedudukan para nabi dan teman Allah.

Hendaklah bersikap lemah lembut dan belas kasihan dengan sesama salik. Maafkanlah kesalahan mereka dan terimalah alasan mereka.

Hendaklah sentiasa menjauhkan diri dari mengumpat.

Abaikan kekurangan orang lain tetapi jangan abaikan kekurangan diri sendiri.

Anggap semua orang lebih baik daripada diri sendiri, dan jangan bertengkar dengan sesiapa pun, walaupun kamu berada di atas kebenaran.

Kamu seharusnya berkhidmat kepada orang lain dan menjadi tuan rumah.

Bersahabatlah dengan orang-orang fakir dan miskin, dan berkhidmatlah kepada para alim ulama dan orang-orang yang soleh dengan penuh hormat dan kesungguhan.

Cuba renungkan, apa yang ada padamu dan apa yang tiada adalah perkara yang sama. Ridhalah dengan apa yang anda miliki.

Utamakan orang lain daripada diri sendiri.

Hendaklah mencintai untuk berlapar dan dahaga kerana ia adalah hidangan dari Allah.

Kurangkan ketawa dan banyakkan menangis.

Takutlah akan azab Tuhan maka Dia tidak akan mengabaikan kamu.

Ingat mati sebanyak-banyaknya, kerana ia akan memutuskan hubungan dengan selain Dia.

Mintalah dijauhkan daripada Neraka, kerana ia adalah tempat perpisahan dengan Tuhan. Dan carilah Syurga kerana ia adalah tempat tinggal yang dekat dengan Tuhan.

Hisablah diri kamu setiap hari selepas solat subuh dan solat maghrib dengan mengimbau kembali apa yang telah berlaku pada hari itu. Syukur kepada-Nya atas perbuatan baik yang telah kamu lakukan dan memohon ampun kepada-Nya atas segala dosa yang kamu lakukan.

Hendaklah sentiasa bersikap siddiq benar dan makan apa yang halal sebagai sifat yang sentiasa diperlukan.

Elakkan diri dari segala perhimpunan yang berunsur hiburan dan menyalahi syariat.

Hendaklah menjauhi semua norma budaya jahiliyah.

Cinta, benci, berkawan dan bermusuhan, kerana Allah.

Jangan mencederakan sesiapa pun dan jangan terlalu berharap terhadap mereka.

Hendaklah sentiasa kekal sederhana dan elakkan banyak berkata-kata.

Janganlah terlalu gelisah dan amalkan sikap mampu berhadapan dengan bermacam situasi.

Tetaplah taat kepada Tuhanmu, bertaqwa dan menjaga maruah.

Sifat orang yang bertaqwa adalah tidak tertipu apabila merasa telah mencapainya atau menganggap diri kamu seorang yang baik.

Hendaklah kamu menziarahi kubur orang soleh dan juga orang awam yang beragama Islam. Sedekahkanlah pahala bacaan kepada mereka.

Amalkan adab dan taatilah Syaikh kamu kerana dia adalah pewaris Nabi [ semoga Allah memberkatinya dan memberikan dia kesejahteraan ].

Teruslah berdoa untuk Para Syaikh-Syaikh tariqat kerana mereka adalah wasilah perantara kamu kepada Allah.

والله اعلم بالصواب

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لا اله الا انت استغفرك واتوب اليك

Disalin dan Disusun oleh

Faqir Haqir La Sya' Miskin Fani Azmye bin Asli 'afa Allahu 'anhu

Alamat : Kampung Kadalakan, Jalan Banjar, Keningau 89008, Sabah, Malaysia.

Isnin, 20 Mei 2024

Mercy Ocean [2] Ya'juj dan Ma'juj

Mercy Ocean [2] Kisah Ya'juj dan Ma'juj - Pelajaran dari Maulana Syaikh 'Abdullah Faiz Ad Daghestani An Naqshband

الحمد لله وكفى وسلام على عباده الذين اصطفى، أما بعد

Grandsyaikh (Syaikh 'Abdullah Ad Daghestani An Naqshbandi) kami berkata, "Kita mesti percaya bahawa ada dua bangsa anak Adam yang hidup sekarang, terpenjara di sebalik tembok besar yang dibina oleh Dzul-Qarnain. Di hadapan tembok ini, Allah Ta'ala telah meletakkan gunung-gunung ais yang besar... tidak dapat didekati. Bangsa-bangsa yang dipenjarakan itu ialah Gog dan Magog (Ya'juj dan Ma'juj) atas kehendak Allah mereka akan dibebaskan ketika jatuh bintang yang sangat panas. Mereka akan terlepas dan memakan segala benda yang ada sama ada lembut atau keras dan meminum air sungai dan tasik. Mereka akan tinggal di bumi hingga datang hari kiamat, apabila sangkakala ditiup, maka semua akan mati dan gunung-gunung akan diratakan menjadi pasir oleh gempa bumi yang dahsyat. Setelah itu selama 40 tahun tidak akan ada kehidupan di bumi.

Hari Kebangkitan: Allah Ta'ala menurunkan hujannya. Hujan ini adalah seumpama sperma manusia. Selama empat puluh hari hujan akan turun dan meresap ke dalam tanah. Tujuh puluh lengan panjang air akan menutupi bumi. Ada tertulis dalam hadis bahawa semua jasad manusia akan hancur kecuali seketul tulang - satu sel.

Sel yang satu ini akan menjadi seperti sel telur wanita, dan ia akan disenyawakan oleh hujan ini. Daripadanya semua jasad akan hidup semula, tumbuh sepertimana dalam rahim ibu kita, dan tidak lama dari itu ia menjadi seperti keadaan pada hari mereka mati. Hanya beberapa jasad, seperti para Nabi, tidak akan mengalami kemusnahan dan kelahiran semula ini, tetapi sebaliknya akan dilindungi Ilahi.

Pada tiupan sangkakala yang kedua oleh Israfil, mayat yang terbaring di dalam kubur akan menerima roh masing-masing dan sifat kemanusiaan mereka. Mereka kemudian akan hidup, menunggu di kubur mereka. Nabi (selawat dan salam ke atasnya) akan datang dahulu. Jibril sedang menunggu dia untuk datang ke tempat pengadilan. Rasulullah s.a.w. duduk sambil menyapu debu di janggutnya, dan perkara pertama yang baginda tanyakan, "ماذا عن الامة" (Bagaimana keadaan umatku?) "

“Wahai Muhammad, jangan takut,” jawab Jibril. "Mereka menunggu di dalam kubur mereka, menunggu perintahmu! Kamu adalah orang yang pertama kali bangkit, dan autoriti diberikan kepadamu untuk ummatmu.

Kemudian Nabi (selawat dan salam ke atasnya) mengizinkan semua orang untuk bangkit. Tujuh puluh orang akan berusaha untuk berkerumun pada satu kaki persegi. Mereka dalam kegelapan - tidak ada matahari, tidak ada bulan. Semua orang telanjang, lapar, dan dahaga. Tiada siapa yang boleh melihat yang lain, mereka telah bangkit dan tidak mereka ketahui betapa hari itu adalah hari yang paling menakutkan.

Segera Rasulullah (selawat dan salam ke atasnya) akan memberikan cahaya Iman kepada setiap orang, sesuai dengan iman mereka. Cahaya minimum akan terhasil seperti hujung ibu jari, berkelip-kelip, sekejap hidup sekejap mati.

Kemudian, orang ramai datang dari segala penjuru dan dikumpulkan di satu dataran untuk penghisaban. Mereka akan berada di dataran Damas, dan neraca akan diletakkan di atas gunung (Jabal Qasiyun). ( Pada saat ini , syaikh menunjuk ke tempat tepat di hadapannya di Masjid ' Abdullah Daghestani dan berkata, " Di sini ! " ) Al - Kursi ( singgahsana Tuhan kita ) akan berada di tapak di mana hari ini tempat itu adalah makam dua orang isteri Nabi di Damsyik.

Kisah penuh penghisaban tidak dapat diceritakan sekarang. Ceritanya terlalu panjang sehingga kalau hendak diceritakan penceritaannya tidak akan habis sehingga sampai hari yang dimaksudkan itu.

والله أعلم بالصواب
سبحانك اللهم وبحمدك أشهد أن لا إله إلا أنت أستغفرك وأتوب إليك

Disalin dan ditaip semula oleh

Faqir haqir la syai' miskin fani Azmye bin Asli 'Ufiya 'Anhu

Alamat : Kampung Kadalakan, Jalan Banjar, Keningau 89008, Sabah, Malaysia.

Mercy Ocean [1] Asas Asas Islam

Mercy Ocean [Pelajaran Daripada Maulana Syaikh 'Abdullah Faiz Ad Dagestani An Naqshband]

الحمد لله وكفى وسلام على عباده الذين اصطفى، أما بعد

LAUTAN RAHMAT [1]

Islam diasaskan di atas tiga rukun. Yang pertama ialah Kepercayaan, yang kedua ialah Tindakan, dan rukun yang ketiga ialah Watak Seseorang - atau Sifat-Sifat Peribadi .

 Kepercayaan -

Hati mempercayai apa yang disangkal oleh akal. Ini mesti difahami terlebih dahulu jika tidak ada Islam. Tidak ada gunanya untuk mendasarkan, atau mengimbangi iman seseorang pada tahap fikiran, yang meragui apa-apa, yang tidak dapat dialami melalui pancaindera.

 Tindakan -

Seorang mukmin mesti bertindak dengan kasih sayang. Cinta kepada Allah Taala, RasulNya, dan Syaikhnya. Dalam perbuatannya, seorang mukmin mesti mengikut, atau meniru tingkah laku Rasulullah ( selawat dan salam ke atasnya) dan Syaikhnya, menyerahkan segala aspek kehidupannya kepada mereka. Tidak boleh ada ' ruang rahsia ' dalam hidupnya. Dia mesti, pada setiap masa, dan dalam setiap situasi, berkelakuan seolah-olah dia berada di hadapan mereka.

 Sifat-Sifat Peribadi -

Quran memberitahu kita bahawa tidak ada dua hati di dalam dada manusia. Kita boleh menjadi hamba kepada nafsu kita, kepada keinginan ego kita, atau kita boleh mengabdi kepada Tuhan kita. Akhlak hamba Allah ialah sifat khusyuk. Dia sentiasa menganggap dirinya memerlukan Tuhannya, lemah dan penuh kekurangan di hadapan Tuhannya, tidak sombong kerana memiliki ilmu dan tidak mementingkan diri sendiri.

والله أعلم بالصواب

سبحان الله وبحمده سبحانك اللهم وبحمدك أشهد أن لا إله إلا أنت أستغفرك وأتوب إليك

Disalin dan ditaip semula oleh

Faqir haqir la syai' Azmye bin Asli 'ufiya 'anhu

Alamat : Kampung Kadalakan, Jalan Banjar, Keningau 89008, Sabah, Malaysia

Ahad, 19 Mei 2024

Jenis-Jenis Khilafat

 بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله وكفى وسلام على عباده الذين اصطفى، أما بعد


Khilafat

Setiap silsilah, Para Masyaikhnya memiliki ciri-ciri dan cara memberi khilafat yang berbeza.

1. Khilafat lisan :

Sebahagian Burzugan cara mereka memberi khilafat adalah melalui percakapan mereka. Jika kata-kata itu keluar dari mulut seorang Wali yang Kamil sempurna lagi Akmal menyempurnakan,“aku memberi kamu khilafat” maka ucapan Wali yang sempurna itu mudah-mudahan diterima Allah. Dengan memberikan khilafat, hal keadaan murid itu akan berubah. Hadhrat Khawajah Muhammad Ma'sum bin Imam Rabbani Mujaddid Alfi Tsani quddisa sirruhuma pernah duduk di hadapan muridnya lalu berkata “engkau adalah Abdal(satu pangkat kewalian)” pada waktu lain dia berkata pada murid yang lain “kamu adalah Quthub(satu pangkat kewalian)”. Begitulah cara mereka melantiknya sebagai khalifah.

2. Khirqat Khilafat :

Sebahagian Burzugan apabila mereka ingin memberikan khilafat kepada murid mereka, mereka akan memberinya pakaian khas setelah murid tersebut menyempurnakan maratib tingkatan suluk.

Hadhrat Habib Karim Muhammad ﷺ telah memakaikan serban hitam kepada Hadhrat Abdul Rahman bin 'Auf apabila beliau dilantik sebagai panglima perang. Hadhrat Ka'ab bin Zuhair telah memberikan jubahnya kepada Bibi Ummu Khalid radhiyallahu ‘anhum. Hadhrat Pir Fazal 'Ali Qureshi rahimahullahu ketika dia berniat hendak menjadikan Pir Mina Sain quddisa sirruhu sebagai khalifahnya dia telah memberikan pakaiannya.

Hakikat Khirqat : pakaian mereka yang mahir urusan hati, mereka yang penuh mahabbat kecintaan dalam hatinya dan ahli makrifat itu penuh dengan rahmat dan keberkatan. Pakaian mereka boleh menjadi sebab bagi kesembuhan. Dalam Al-Quran ada kisah yang menceritakan tentang baju Hadhrat Yusuf 'alaihissalam. Ada juga juga kisah mengenai Bibi 'Asma radhiallahu 'anha, dan Hadhrat Habib Karim Muhammad ﷺ yang melalui keberkatan pakaian mereka banyak penyakit-penyakit menjadi sembuh.

*Terdapat perbezaan antara pakaian ahli dunia dan ahli taqwa

*Khirqat adalah simbol kehormatan dan kemegahan dari tuhan

*Khirqat adalah tanda kasih sayang dan cinta Syaikh

*Khirqat adalah sumber kesempurnaan

*Mursyid yang memiliki kekuatan hal keadaan faidhznya mempengaruhi pakaiannya

*Mursyid yang Shahibul hal pakaiannya mampu mengubah hal keadaan murid

*Khirqat boleh menaikkan tingkatan murid

*Khirqat membantu untuk mendapatkan akhlak mulia

*Khirqat menjadikan manusia benci kepada kemungkaran dan dosa

*Khirqat adalah perhiasan Ahli Batin

*Khirqat adalah pakaian yang menjadi tabir antara syaitan, nafsu dan salik

*Khirqat adalah Zhil bayang-bayang kewalian syaikh. Mursyid lagi wali memiliki naungan Zhil bayang-bayang

*Dengan memakai khirqat, maka syaitan akan menjauhinya

*Dengan khirqat, murid akan diwarnai dengan warna mursyidnya

*Apabila pakaian yang diberikan oleh para wali Allah dipakai pada badan, kesan luaran akan mempengaruhi dalamannya

*Khirqat akan mengubah kaifiyat hati

Buku Hadhrat Muhyiddin Ibn Al Arabi rahimahullahu "Al Khirqat" adalah buku yang terbaik dalam menghuraikan perkara ini. Di dalamnya telah diterangkan keutamaan khirqat dan kesan, buah-buahan dan faidahnya.

Jenis Khirqat : terdapat pelbagai jenis Khirqat

1. Khirqat Tabarruk

2. Khirqat Iradat

3. Khirqat Khilafat

1.Khirqat Tabarruk : seorang syaikh memberikan khirqat tabarruk ini kepada seseorang atas sebab telah menggembirakan hatinya, maka mubarak mudah-mudahan diberkati orang tersebut.

2.Khirqat Iradat : syaikh memberikan Khirqat Iradat ini kepada seorang murid, hamba, lagi Kamil sempurna, sepertimana Hadhrat Yusuf memberikan pakaiannya kepada Hadhrat Ya'qub ‘alaihimasallam

3.Khirqat Khilafat : ia adalah khilafat yang istimewa lagi penuh dengan keberkatan nisbah batini

Warna-Warna Khirqat : warna khirqat kadang-kadang hijau, kadang-kadang putih, kadang-kadang hitam dan terkadang merah dan merah jambu. Tetapi sebenarnya Syaikh akan memberikan khirqat mengikut warna-warna tersebut dengan melihat kesesuaian hal keadaan muridnya.

Kesan dari pakaian syaikh yang kamil :

Hadhrat Shah Gul Hasan penyusun Tazkirah Ghausiyah yang di dalamnya terdapat malfuzat Hadhrat Ghaus 'Ali Qalandar Panipatti quddisa sirruhuma dia menceritakan;

Di Shahjahanpur Hindustan India, ada seorang burzug tinggal di loteng. Ada seorang askar yang tinggal di kawasan kejiranannya. Burzug itu jatuh sakit kerana kes cirit birit. Askar itu menyangka bahawa faqir lagi darwish itu tidak mempunyai khadim atau orang yang bekerja untuknya. Maka dia telah berkhidmat untuknya dengan dahsyat sekali. Apabila waktu kematiannya seperti sudah semakin hampir, dia menyuruh askar itu membawa sebuah kotak yang ada di situ. Di dalamnya terdapat peti dan topi. Dia berkata “mursyid saya telah memberi saya khil'at(barang yang dia pernah pakai) ini, hari ini saya menyerahkannya kepada anda”. Tidak lama setelah itu burzug itu meninggal dunia, mereka pun memandikan dan mengebumikannya. Pada hari ketiga, orang-orang menyuruhnya untuk memakai khil'at itu. Setelah memakai khil'at tersebut, suasana hatinya berubah sehingga membuatkan dia sebak dan menangis. Dia telah melepaskan dunianya dan menjadi seorang yang 'abid lagi zahid.

Topi seorang darwish yang kamil :

Seorang wali Allah merasakan bahawa masa kematiannya sudah hampir. Maka dia telah meninggalkan tempat ibadatnya dan masuk ke dalam kota. Dia melihat seorang pemuda di hadapannya lalu dia memanggilnya : “saya akan dipanggil tidak lama lagi, tolong aturkan mandian dan pengebumian saya”. Dia berkata demikian dan meletakkan topinya di atas kepala pemuda itu lalu berbaring di atas tanah dan nyawanya pun melayang. Pemuda itu telah menguruskan mandian dan pengkafanannya. Setelah pulang dari mengebumikannya, hal keadaan dirinya telah berubah. Dia lalu mengasingkan diri dari orang ramai dan menyibukkan diri dalam beribadat kepada Allah. Berkat topi faqir itu telah menyebabkan suasana hatinya berubah.

3.Khilafat Ijtima’i :

Apabila seorang burzug telah memilih seorang murid atau anaknya sebagai khalifahnya pada masa hampir wafatnya, dan kemudian semua jemaahnya bersetuju dengan khilafatnya, maka ia disebut sebagai khilafat ijtima'i.

4.Khilafat Palsu :

1. Apabila seorang burzug meninggal dunia tanpa melantik seseorang menjadi khalifah dan penggantinya, ada adat bahawa waris burzug itu atau muridnya dijadikan khalifah atau sajjada nashin (pemimpin khanqah). Khalifah seperti ini tidak sah dan tidak boleh dipercaya disisi ahli sufi.

2. Apabila seorang burzug telah meninggal dunia dan tidak ada seorang pun yang menjadi khalifah atau pemimpin khanqahnya, maka ada ahli waris menjadi khalifah dengan pendapatnya sendiri dan mula menggelar dirinya sebagai khalifah syaikh. Ini pun adalah khilafat yang palsu. Dia tidak memiliki kelayakan untuk menisbatkan dirinya sebagai syaikh.

5.Khilafat Warisan:

Selepas kematian seorang syaikh dan setelah anaknya menguruskan pengebumiannya. Anaknya akan dipanggil sebagai Pir terutamanya anak sulung. Sama ada dia memiliki kelayakan untuk itu atau pun tidak. Hanya kerana kehebatan ayahnya telah menempatkan dia pada kedudukan itu. Para Masyaikh tidak menjadikan nisbat batin ini sebagaimana harta warisan dunia. Untuk mendapatkannya setiap orang perlulah melakukan usaha yang gigih. Terdapat banyak penyalahgunaan kedudukan Sajjadah Nashin (pemimpin khanqah) akibat dari melantik mereka yang tidak memiliki kelayakan. Disebabkan itu kesucian khanqah telah tercemar. Jemaah tariqat telah menjadi mangsa hawa nafsu dari pemimpinnya. Usaha yang dilakukan oleh para burzug seolah-olah tidak membuahkan hasil. Di mana yang dahulunya khanqah memiliki majlis-majlis zikir dan fikir siang dan malam, hari ini ritual dan majlis yang haram dan tidak islam telah diadakan. Menganggap khilafat dan Sajjadah Nashin sebagai warisan sama sekali tidak dibenarkan bagi ahli tariqat yang haq.

6.Khilafat Hakim (mengikut keputusan hakim)

Murshid tidak melantik sesiapa pun sebagai khalifah semasa hayatnya, dan selepas kematiannya tiada yang menduduki Sajjadah Nashin. Perkara itu sampai ke pengetahuan kerajaan. Kemudian mahkamah kerajaan telah melantik seseorang untuk menjadi Khalifah dan Sajjadah Nashin, maka perintah Al-Quran :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ 

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul-Nya dan ulil amri di kalangan kamu.

Menurut perintah ini, jika yang membuat keputusan adalah pemerintah, maka lantikan Khalifah dan Sajjadah Nashin tersebut dibenarkan bagi mereka, tetapi tidak sah di sisi Para Masyaikh, kerana latihan rohani seorang salik perlu kepada Syaikh pemimpin khanqah yang memiliki sanad sandaran. Fana nafs terhasil dengan bantuan mursyid, mursyid yang lemah akan menyebabkan lebih banyak kerosakan.

7. Khilafat Taklifi:

Adalah tidak betul untuk meminta khilafat daripada Mashaikh. Mereka tidak memberikan khilafat kepada orang yang memintanya. Tetapi jika murid meminta khilafat dengan bersungguh-sungguh atau ada seseorang yang mengesyorkannya dan dia mendapat khilafat, maka khilafat tersebut tidak mempunyai apa-apa makna.

8.Khilafat Uwaisi

Jika hubungan kerohanian salik dengan ruh seorang wali yang telah wafat kuat dan ahwal keadaan batinnya mencapai kesempurnaan berkat fuyudhzatnya, maka dia akan diberikan khilafat dari wali tersebut. Ulama sufi telah mengiktiraf khilafat seperti ini adalah sah dan benar, tetapi mereka telah menetapkan beberapa syarat untuknya. Perkara paling penting dari itu salik haruslah mempunyai batin yang suci sehingga dia dapat bertemu dengan ruh wali dan dapat terhasil limpahan faidhz daripadanya.

Kelayakan Khilafat :

Prasyarat kelayakan menjadi khalifah adalah berbeza mengikut silsilah yang berlainan. Di sisi Para Masyaikh Naqshband, murid itu tidak layak menjadi khalifah sehinggalah dia telah mencapai fana nafs. Fana Nafs membawa maksud bahawa keakuan pentingkan diri sendiri dan nafsu syahwat kebinatangan telah hilang. Begitu juga sifat-sifat keji seperti dusta, dengki, tamak, hasad, pemarah, sombong, ujub, riyak, cinta dunia dan lain-lain hendaklah disingkirkan daripadanya dan hendaklah diganti dengan sifat-sifat mahmudah seperti sabar, syukur, ridha, taslim, qanaah, cinta kepada Allah dan menjadi budak cinta kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, barulah dia layak menjadi khalifah.

Ulama sufi yang haq berkata bahawa apabila murid mencapai tahap Fana Fi Rasul dan menempati jabarut maka dibenarkan untuk memberinya khilafat. Mulanya tidaklah wajib, tetapi apabila murid sampai kepada Musyahadah Malakut dan Syuhud Zat, maka wajib diberikan khilafat kepadanya. 

Sebahagian Burzugan berkata bahawa apabila murid itu menyedari dan dapat membezakan antara Khatrah lintasan Rahmani dan Khatrah Syaitani maka dia layak menjadi khalifah. Tetapi apabila seorang mursyid mendapat izin daripada Allah atau menerima perintah daripada Rasulullah atau menerima isyarat daripada Pir Mursyidnya, maka hendaklah dia mengambil khilafat itu tanpa rasa takut dan risau. Telah menjadi Makmulat amalan sebahagian Burzugan untuk melakukan istikharah sebelum memberikan khilafat.

Rujukan : Tazkiratul Khulafa Ghaffariyah Hadhrat Shahibzadah Muhammad Karamullah Al Qadiri An Naqshband

والله أعلم بالصواب

سبحان الله وبحمده سبحانك اللهم وبحمدك أشهد أن لا إله إلا أنت أستغفرك وأتوب إليك


Disalin dan disusun oleh

Hamba faqir haqir la syai' umpama debu di telapak kaki para masyaikh

Azmye bin Asli 'ufiya 'anhu

Alamat : Kampung Kadalakan, Jalan Banjar, Keningau 89008, Sabah, Malaysia.

Sebarang sumbangan, sedekah dan hadiah bolehlah disalurkan ke akaun bank : 5648 4712 8095 (Maybank atas nama AZMYE). Whatsapp : +60 16 777 0714

Rabu, 15 Mei 2024

Tazkirah Hadhrat Syaikh Jalalludin Ahmad Ar Rowi Al Amani Al Ruhani Al Bazi An Naqshbandi Al Mujaddidi


Gambar ketika faqir bersuhbat dengan Hadhrat Syaikh Maulawi Jalalludin Ahmad Ar Rowi Al Amani Ar Ruhani Al Bazi An Naqshbandi Al Mujaddidi Al Khalidi Al Ahmadi Al Haqqani Al Uwaisi عفى عنه ولوالديه

نحمده ونصلي على رسوله الكريم، أما بعد

PERMULAAN JALAN DAN JALAN 
PERMULAAN 

Menerusi jalan Tariqat Naqshbandiyah ini Hadhrat Maulawi Jalalludin Ahmad Ar Rowi telah menerima Tawajjuh dari beberapa orang Syeikh secara Zahir dan Batin yang di antaranya adalah Syaikhul Masyaikh Sayyidina Wa Murshidina Qiblah Hadhrat Maulana Khan Muhammad Sahib Khanqah Sirajiah, Hadhrat Syeikh Raja Ashman Shah Al-Haqqani Putera Sultan Azlan Shah Perak Darul Ridzuan, Hadhrat Syeikh Muhammad Kamal Bin Muhammad Syuhud Al-Khalidi Rumah Suluk Changkat Chermin Batu Gajah, Hadhrat Syeikh Muhammad ‘Ali Rumah Suluk Pondok Upeh Balik Pulau dan Hadhrat Syeikh Muhammad Hisham Al-Kabbani Khalifah Kanan Hadhrat Syeikh Muhammad Nazim Adil Al-Qubrusi Al-Haqqani Qaddasallahu Asrarahum. 

Beliau juga menerima Tawajjuh khas secara Batin dari sebilangan Para Masyaikh dan mengambil limpahan Faidhz menerusi jalan Uwaisiyah, khususnya dari Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Hadhrat Ghautsul Tsaqilain Qutubul Aqtab Sultanul Aulia Syeikh ‘Abdul Qadir Al-Jailani Rahmatullah ‘alaih, Hadhrat Shah Muhammad Bahauddin Naqshband Bukhari Rahmatullah ‘alaih, Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rahmatullah ‘alaih, Hadhrat Khwajah Haji Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah ‘alaih dan Hadhrat Sultanul ‘Arifin Maulana Syeikh Ismail Pulau Besar Rahmatullah ‘alaih. 

Walaubagaimanapun pada hakikatnya, Hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala sendiri yang telah memberikan petunjuk dan Dia-lah yang telah mengeluarkan hamba-Nya dari kegelapan kepada cahaya dan Dia-lah Tuhan yang sentiasa memelihara dan mengajari dan memberikan TawajjuhNya serta melimpahkan limpahan FaidhzNya
terhadap hamba yang dipilih oleh-Nya.

Beliau dilahirkan pada 12 Jun 1973 Masihi bersamaan 1 Jamadil Awwal 1392 Hijriyah di Ipoh, Perak dan merupakan anak yang ketiga dari 3 orang adik-beradik sesudah abangnya Jamalluddin dan kakaknya Jamaliah. Ketika berusia 3 tahun keluarganya telah berpindah ke Taiping, Perak. Ayahnya bernama Noordin bin Haji ‘Abdur Rahim dari keturunan Rao atau Rawa yang berasal dari Tanah Sumatera di Pagar Ruyung lalu berhijrah ke Teluk Intan, Perak. Datuknya Haji ‘Abdur Rahim adalah seorang ‘Ulama di Hilir Perak yang bertanggungjawab mendidik dan mentarbiyah pengetahuan Agama Islam kepada Raja Muda Perak di Madrasahnya di Teluk Intan sebelum ditabalkannya menjadi Sultan Perak. Antara yang telah menerima didikannya adalah Al-Marhum Sultan Yusuf Syah dan Al-Marhum Sultan Idris Syah. Silsilah keturunan Rawa datuknya sampai kepada Tahan. Ibu Hadhrat Syaikh bernama Wan Siti Halijah, bapanya bernama ‘Abdur Rahman dan ibunya bernama Wan Siti Aminah dan ibunya bernama Wan Siti ‘Aisyah dan merupakan keturunan Puteri Saadong yang berasal dari Kelantan, ayahandanya bernama Raja Loyor, putera kepada Nik Jamaluddin, putera kepada Wan ‘Abdul Muzaffar, putera kepada Wan Abu ‘Abdullah atau digelar Wan Bo atau digelar Maulana Asy-Syeikh Israil, putera kepada ‘Ali Nurul ‘Alam atau digelar Patih Aria Gajah Mada atau digelar Sultan Qumbul dan beliau adalah putera kepada Hadhrat Maulana Sayyid Hussain Jamaluddin Al-Kubra Rahmatullah ‘alaihi hasil daripada perkahwinannya dengan Puteri Syahirah atau digelar Puteri Selindung Bulan dari negeri Kelantan Cermin Jeddah Serambi Mekah. Keturunan ibunya adalah dari
Hadhrat Syeikh Sayyid Jamaluddin Al-Kubra yang telah datang dari Tanah Hindi ke Nusantara untuk menyebarkan Dakwah Islamiyah khususnya Aceh, Pasai dan Perlak di Sumatera, Kedah, Perak, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Pattani di Semenanjung Tanah Melayu sehingga ke Champa, Selatan Filipina dan Tanah Jawa.
Silsilah keturunan beliau sampai kepada Hadhrat Baginda Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
seperti berikut:

Syeikh Sayyid Jamaluddin Al-Kubra bin Sayyid Shah Ahmad Jalalluddin bin Sayyid Shah ‘Abdullah bin Sayyid ‘Abdul Malik bin Sayyid ‘Alwi Hadhramaut bin Sayyid
Muhammad bin Sayyid ‘Ali bin Sayyid ‘Alwi bin Sayyid Muhammad bin Sayyid ‘Alwi bin Sayyid ‘Ubaidillah bin Sayyid Ahmad Muhajir bin Sayyid ‘Isa Syakar bin Sayyid
Muhammad bin Sayyid ‘Ali bin Sayyid Ja’afar As-Sadiq bin Sayyid Muhammad Baqir bin Sayyid ‘Ali Zainal ‘Abidin bin
Hadhrat Imam Hussain putera kepada Hadhrat Sayyidina ‘Ali Karramallahu Wajhah dan Hadhrat Sayyidatun Nisa
Sayyidatina Fatimah Az-Zahra puteri Hadhrat Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Ayah Hadhrat Syaikh meninggal dunia ketika beliau berusia 8 tahun dan ibu beliaulah yang mengasuh serta mendidik Hadhrat Syaikh dengan ‘Ilmu Syari’at dan mengajarkannya Al-Quran serta Solat. Ibunya juga telah menghantar Syaikh ke sekolah Agama dan sekolah Akademik untuk mempelajari ilmu agama dan ilmu akademik kerana keperluan terhadap ilmu-ilmu tersebut amat besar dalam kehidupan duniawi. Hadhrat Syaikh gemar membaca buku-buku dan kitab-kitab semenjak kecil dan ibunya juga selalu membacakan kitab Qisasul Anbiya dan Manaqib Hadhrat Syeikh ‘Abdul Qadir Al-Jailani Rahmatullah ‘alaih kepada Hadhrat Syaikh dan Syaikh pula amat gemar membaca kitab Tazkiratul Auliya karangan Hadhrat Syeikh Fariduddin ‘Attar Rahmatullah ‘alaih.

Hadhrat Syaikh telah dikurniakan Nur Hidayah dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebagai seorang Majzub pada tahun 1991 Masihi ketika daku berusia 19 tahun. Beliau
telah mengalami Jazbah untuk menuju ke Hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala menerusi zikir yang banyak di dalam
hati. Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah mengeluarkan dirinya dari Zulmat kepada Nur. Seterusnya menyedari tanggungjawabnya sebagai seorang Salik, beliau telah keluar di Jalan Allah dengan niat mengislahkan diri dan Mujahadah selama 40 hari di Negeri Sembilan bersama Jemaah Dakwah dan Tabligh. Dengan Hidayah dan ‘Inayah dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala, setelah kembali dari bertabligh di Jalan Allah, beliau telah disampaikan ke Maqam Hadhrat Sultanul ‘Arifin Maulana Syeikh Ismail Rahmatullah ‘alaih di Pulau Besar, Melaka dibawa oleh seorang hamba Allah yang bernama Muhammad Zakaria yang ada menyertai Hadhrat Syaikh di dalam jemaah ketika berada di Jalan Allah. Beliau begitu ingin membawa Syaikh ke Pulau Besar lalu membawanya ke sana dan dengan izin Allah Hadhrat Syaikh tiba di Pulau Besar dengan menaiki perahu bersamanya. Setibanya di Pulau Besar, Melaka Syaikh telah dibawa ke Masjid lalu bersolat dua raka’at dan telah dibai‘ahkan dengan dengan seorang Syeikh dari Silsilah Qadiriyah yang dinisbatkan kepada Sultanul Auliya Hadhrat Maulana Syeikh ‘Abdul Qadir Al-Jailani Rahmatullah ‘alaih. Hadhrat Syaikh telah diberikan awrad zikir Tariqat Qadiriyah untuk diamalkan tanpa sempat beliau bertanyakan nama Syeikh tersebut dan kemudian Hadhrat Syaikh dibawa ke maqam Hadhrat Sultanul ‘Arifin Maulana Syeikh Ismail Rahmatullah ‘alaih. Beliau adalah cicit kepada Hadhrat Maulana Syeikh ‘Abdul Qadir Jailani Rahmatullah ‘alaih dan merupakan generasi ke-14 keturunan Hadhrat Baginda Muhammad Rasulullah
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Salasilah keturunan beliau dari bapanya adalah seperti berikut:

Syeikh Ismail bin Syeikh ‘Abdul Qadir bin Syeikh ‘Abdul Jabbar bin Syeikh Salih bin Ghautsul A’zam Qutbul Aqtab Sultanul Auliya Hadhrat Maulana Syeikh Muhyiddin
‘Abdul Qadir Al-Jailani Rahmatullah ‘alaih bin Al-Imam Sayyid Abi Saleh Musa Janki Dosti bin Al-Imam Sayyid ‘Abdullah bin Al-Imam Sayyid Yahya Az-Zahid bin Al-Imam
Sayyid Muhammad bin Al-Imam Sayyid Daud bin Al-Imam Sayyid Musa bin Al-Imam Sayyid ‘Abdullah bin Al-Imam Sayyid Musa Al-Jun bin Al-Imam Sayyid ‘Abdullah Al-
Mahdhi bin Al-Imam Sayyid Al-Hassan Al-Mutsanna bin Al-Imam Sayyid Al-Hassan As-Sibthi bin Al-Imam Sayyidina ‘Ali Karramallahu Wajhahu dan Sayyidatun Nisa Fatimah Az-Zahra binti Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Syeikh Ismail Rahmatullah ‘alaih dilahirkan di Baghdad pada hari Jumaat di antara waktu Maghrib dan ‘Isya iaitu 17 Rabi‘ul Awwal tahun 867 Hijrah. Ibunya bernama Fatimah, seorang wanita yang Salihah di dalam negeri Baghdad. Menurut riwayat yang tertulis di dalam manaqibnya Tuhfatul Abrar, pada malam kelahirannya 116 bayi turut dilahirkan di dalam negeri Baghdad dan kesemuanya dilahirkan sebagai Auliya Allah dan kesemua bayi tersebut menjadi murid kepada Syeikh Ismail Rahmatullah ‘alaih. Ketika dia berusia 3 tahun, penduduk Baghdad menghadapi masalah menentukan tarikh permulaan Ramadhan kerana anak bulan tidak kelihatan. Maka Syeikh Ismail Rahmatullah ‘alaih yang pada masa itu masih anak kecil berusia tiga tahun mengangkat tangan kanannya dan dengan menggunakan jari kelingkingnya, beliau
mengisyarahkan ke arah anak bulan yang tidak kelihatan, lalu anak bulan pun mulalah kelihatan. Ibunya dan semua yang ada menyaksikan kejadian itu berasa takjub dan tergamam dengan keajaiban itu dan bertambah kasih sayang mereka kepada Syeikh Ismail Rahmatullah ‘alaih. Sewaktu Syeikh Ismail Rahmatullah ‘alaih berusia 7
tahun dia telah mengikuti rombongan ahli penduduk Baghdad menunaikan Haji di Baitullah dan setelah selesai mengerjakan haji mereka pun pergi ke Madinah untuk
menziarahi Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Menurut salah seorang yang
menyertai rombongan tersebut:

 “Apabila kami telah sampai ke Raudhah yang mulia untuk menziarah Maqam Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang
mulia, kami dan anak tersebut (Syeikh Ismail Rahmatullah ‘alaih) pun mulalah membaca Al-Quran dan berdoa kepada
Allah dengan doa-doa yang baik-baik dan yang penting-penting menurut Syari’at Muhammadiyah. Kemudian kami terdengar suara dari belakang Raudhah yang mulia dengan kata-kata berikut, “Wahai anakku Ismail, hendaklah engkau bersafar dengan mereka yang menyertai engkau ke Qutril Jawi (Tanah Melayu Nusantara). Di kalangan mereka itu terdapat saudara-saudaramu menerusi nasab keturunan dan kesemua mereka akan menuruti engkau.” Kami pun bersyukur kepada Allah setelah mendengar kata-kata tersebut dan kami pun kembali ke Baghdad.”

Syeikh Ismail Rahmatullah ‘alaih dihiasi dengan akhlak yang baik dan adab yang mulia di kalangan Para Salihin. Dia pun mula mempelajari ilmu-ilmu Funun sehingga menjadi seorang yang ‘Alim, penghafaz Al-Quran, kuat beribadah, kuat bermujahadah dan memiliki berbagai
kelebihan. Ketika dia sudah meningkat dewasa, Allah memberikannya ilham untuk hidup secara zuhud dan melakukan ijtihad demi mengembangkan Agama Islam. Beliau telah mendapat ilham dari Allah dan sekali lagi berangkat menuju ke Raudhah Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam di Madinah. Dia bersolat, membaca Al-Quran dan berdoa kepada Allah Ta’ala memohon keizinan dariNya. Dengan izin Allah, Dia memperlihatkan kedua tangan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang mulia terkeluar dari dinding maqamnya lalu dia mendengar suara Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang mulia memanggilnya dengan berkata,

“Sejahtera ke atasmu wahai anakku Ismail,
berzuhudlah dan pergilah engkau dengan orang-orang yang beserta engkau ke Tanah Jawi dan engkau hendaklah menanggung dengan penuh kesabaran terhadap apa sahaja dugaan yang akan datang dari sebarang kejahatan dan keburukan dalam perjalanan itu dan kau akan sampai ke
sana. Berikanlah perkhabaran baik kepada Ummatku dengan jalan-jalan petunjuk yang jelas. Hendaklah engkau berkhemah di sebuah pulau yang mana terdapatnya sekumpulan Jin Ifrit yang durjana dan hendaklah engkau menziarahi moyangmu di Baghdad.”

Setelah menerima wasiat tersebut dia pun meminta izin dari Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam kemudian menziarahi kubur neneknya Hadhrat Siti Fatimah Al-Batul Radhiyallahu ‘Anha dan suaminya Hadhrat Sayyidina ‘Ali Karramallahu Wajhahu. Kemudian dia menziarahi kesemua kubur Para Masyaikh mengambil limpahan Faidhz dari mereka dalam perjalanan pulangnya ke Baghdad dan berdoa ke Hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang mana terhasillah ilmu-ilmu rahsia padanya dari setiap seorang Syeikh yang diziarahinya. Setibanya di Baghdad dia pun menziarahi kubur moyangnya iaitu Hadhrat Qutubul Aqtab Sultanul Auliya Syeikh ‘Abdul Qadir Al-Jailani Rahmatullah ‘alaih. Allah Subhanahu Wa Ta’ala pun melimpahkan segala limpahan dan kemuliaan serta ilmu Ma’rifat kepada Syeikh Ismail Rahmatullah ‘alaih sepertimana yang dilimpahkanNya kepada datuknya dan memimpinnya ke jalan yang lurus. Kemudian pada ketika usianya mencapai 33 tahun iaitu pada tahun 900 Hijrah, Syeikh Ismail Rahmatullah ‘alaih pun berangkat menuju ke Tanah Jawi bersama 16 orang di dalam jemaahnya dan salah seorang dari mereka adalah guru Syeikh Ismail iaitu Hadhrat Syeikh Yusuf As-Siddiq Rahmatullah ‘alaih dan saudaranya iaitu Sayyid Ibrahim Ibni ‘Abdul Qadir Rahmatullah ‘alaih. Mereka pun belayar ke Tanah Melayu menaiki bahtera merentasi Lautan Hindi sehingga mereka sampai ke Selat Melaka, mereka pun berdiam di atas bahtera. Sesudah beberapa hari keberangkatan rombongan Syeikh Ismail Rahmatullah ‘alaih menuju ke Tanah Melayu, sebuah rombongan penduduk Basrah seramai 11 orang pula menuju ke Tanah Melayu dan kemudian serombongan orang ‘Arab seramai 13 orang menuju ke Tanah Melayu dan sesudah sebulan, datang lagi 2 orang sehingga jumlah mereka menjadi 43 orang. Mereka kesemuanya bermastautin di sebuah pulau di Selat Melaka yang terdapat sebuah bukit besar padanya. Orang-orang Melayu memanggil pulau itu sebagai Pulau Besar dan di sanalah Syeikh Ismail Rahmatullah ‘alaih menjalankan tugasnya menyebarkan Agama Islam. Beliau merupakan seorang yang terhimpun padanya kesempurnaan Syari’at, Tariqat, Ma’rifat dan Haqiqat, seorang ahli mujahadah yang ikhlas dan menduduki maqam Sultanul ‘Arifin yakni sultan bagi sekelian Ahli Ma’rifat. Beliau wafat pada malam 17 Rabi‘ul Awwal tahun 965 Hijrah dengan meninggalkan dua orang anak perempuan yang Salihah dan seorang anak lelaki yang Salih. Nisbat Batin beliau adalah Naqshbandiyah dan beliau memperolehi dari gurunya Hadhrat Maulana Syeikh Yusuf As-Siddiq Rahmatullah ‘alaih yang maqamnya juga berada di Pulau Besar, Melaka bersebelahan dengan maqam Sultanul ‘Arifin Hadhrat Maulana Syeikh Ismail Rahmatullah ‘alaih. Beliau merupakan seorang Syeikh Tariqat Qadiriyah, Naqshbandiyah, Syattariyah dan
Chishtiyah. Dengan Taufiq dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala daku terus mengamalkan Zikir Jihri Awrad Qadiriyah yang telah diberikan kepadaku sehingga mencapai Fana dengan keberkatan limpahan Keruhanian Hadhrat Sultan Arifin. 

Syeikh Ismail Rahmatullah ‘alaih, inilah permulaan Hadhrat Syaikh menerima Nisbat Qadiriyah Naqshbandiyah.  Setelah mencapai maqam Fana atas jalan Zikir dan Dakwah Tabligh, pada tahun 1992 Masihi, Hadhrat Syaikh telah diberikan Taufiq oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala untuk berkhidmat kepada seorang Da’i dan Wali Allah yang bernama Hadhrat Syeikh Habibullah Rahmatullah ‘alaih di Sungai Besi dan kemudiannya di Seri Petaling, yang merupakan markaz Dakwah dan Tabligh di Nusantara. Syaikh bertemu dengannya sewaktu Cillah 40 hari jemaah jalan kaki di Perak, dari Taiping ke Kuala Kangsar bersama dengan jemaah jalan kaki setahun dari Karachi, Pakistan. Hadhrat Syaikh telah 
berkhidmat kepadanya selama setahun lalu diberikan Taufiq oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala untuk keluar berdakwah tabligh selama 40 hari di Negeri Johor dan 40 hari di Medan, Sumatera. Di samping itu Syaikh juga giat menjalankan kerja-kerja Maqami Jemaah Masjid dan menjalankan usaha 
mengajak manusia keluar ke Jalan Allah di Kampung Aman, Pokok Assam, Taiping, Perak. Membentuk jemaah dakwah untuk menjalankan usaha di sekitar Pulau Pinang, Gombak, Sungai Besi dan Seri Petaling. Kemudian Syaikh berusaha mengumpulkan perbelanjaan untuk keluar ke Jalan Allah selama 4 bulan di benua Hindi iaitu 40 hari di negara India, 40 hari di Pakistan dan 40 hari di Bangladesh. Pada tahun 1993 Masihi, sebelum Hadhrat Syaikh keluar 4 bulan di Jalan Allah ke negara India, Pakistan dan Bangladesh untuk Islah dan mempelajari usaha Dakwah dan Tabligh di sana, Hadhrat Syaikh telah ditemukan dengan Hadhrat Maulana Syeikh Raja Ashman Shah, Putera Sultan Azlan Shah Negeri Perak Darul Ridzuan yang merupakan Khalifah Hadhrat Maulana Syeikh Nazim ‘Adil Qubrusi Al-Haqqani bagi rantau Nusantara. Syaikh telah dibawa oleh seorang hamba Allah yang juga merupakan saudaranya atas jalan Tariqat yang bernama Muhammad Daud. Hadhrat Syaikh telah berbai‘ah dengan Hadhrat Maulana Syeikh Raja Ashman Shah dan menerima Nisbat Naqshbandiyah Haqqaniyah. 

Kemudian Syaikh pun berangkat ke India. Setelah 40 hari Syaikh berada di India, Syaikh telah berbai‘ah dengan Amir Jemaah Tabligh iaitu Hadratji Maulana Syeikh In’amul Hassan di Basti Nizamuddin, Delhi atas jalan Dakwah dan Tabligh. Beliau merupakan salah seorang Syeikh Besar Tariqat Chishtiyah. Di India Syaikh telah berpeluang untuk bersahabat dengan Para Masyaikh Chishtiyah dan juga telah berpeluang menziarahi Maqam dan mengambil limpahan Faidhz dari Hadhrat Maulana Syeikh Nizamuddin Auliya Rahmatullah ‘alaih dan Hadhrat Maulana Syeikh Muhammad Ilyas Rahmatullah ‘alaih yang merupakan pengasas gerakan Jemaah Tabligh di India pada awal abad ke 19 Masihi bersamaan abad ke 14 Hijrah. Sekembali dari India, Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah menemukan Hadhrat Syaikh dengan seorang Syeikh Naqshbandiyah Khalidiyah yang bernama Hadhrat Syeikh Muhammad ‘Abdullah Kamal Bin Muhammad Syuhud Rahmatullah 'alaih. Syaikh telah berbai‘ah dengannya dan menjalani suluk di bawah asuhannya di Rumah Suluk Changkat Cermin di Batu Gajah, Perak dan Rumah Suluk Pondok Upeh di Balik Pulau, Pulau Pinang. Menerusinya Syaikh telah menerima Nisbat Naqshbandiyah Khalidiyah. Pada tahun 1994 Masihi, Syaikh telah diberikan Taufiq oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala untuk mendalami ilmu-ilmu Syari’at. Hadhrat Syaikh telah ke Lahore, Pakistan untuk belajar di sebuah Madrasah yang bernama Al-Jami’ah Al-Ashrafiyah. Di sana beliau telah memulakan pengajian dengan menghafal beberapa juzuk Al-Quran lalu mempelajari Nahwu, Saraf dan Sighah Bahasa Arab, Bahasa Farsi, Adab Kesusasteraan Arab dan Farsi, Mantiq, Balaghah dan Ma’ani, Fiqah dan Usul Fiqah Mazhab Hanafi dan Syafi’i, terjemahan dan Tafsir Al-Quran dari gurunya yang bernama Hadhrat Maulana Ahmad ‘Ali Al-Ashrafi dan Hadhrat Maulana Muhammad Zahid Al-Ashrafi. Syaikh juga mempelajari Kitab Hidayah Ilmu Fiqah Hanafiyah dari gurunya Hadhrat Maulana Qari Imtiazur Rahman Thanwi Sahib yang mana sempat Hadhrat Syaikh bertemu dengannya di dalam Masjidil Haram di Tanah Suci Mekkah ketika menunaikan Umrah pada 1 Jamadil Awwal 1429 Hijriyah. Hadhrat Syaikh mempelajari Ilmu Hadits dari gurunya Hadhrat Maulana Muhammad Zubair Ar-Ruhani Al-Bazi yang merupakan putera sulung Syaikhul Hadits Hadhrat Maulana Syeikh Muhammad Musa Ar-Ruhani Al-Bazi Rahmatullah ‘alaih, semoga Allah mengharumkan kuburnya 
sehingga ke Hari Qiyamat. Syaikh mempelajari Fiqah Mazhab Syafi’i dari sahabatnya yang bernama Hadhrat Maulana
Syarifuddin Qasim, seorang yang Hafiz Al-Quran yang ‘Alim lagi Wara’. Adapun sewaktu Syaikh berada di Pakistan pada bulan Syawal 1420 Hijrah bersamaan dengan tahun 1998 Masihi, sekembalinya Syaikh dari bertabligh di Jalan Allah, Hadhrat Syaikh telah bermohon kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala agar ditemukan dengan seorang Syeikh yang sempurna mengamalkan Syari’at Nabawiyah dan Tariqat Naqshbandiyah, yang telah mencapai Hakikat dalam Ma’rifat kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan dapat membawa ke Maqam Musyahadah. Setelah hal urusan Syaikh ini terhitung di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala, maka Hadhrat Syaikh  telah di bawa ke bawah telapak kaki Hadhrat Syaikhul Masyaikh Khwajah Khwajagan Qutub Dauran Maulana Khwajah Khan Muhammad Sahib di Khanqah Sirajiah, Kundiyan, Mianwali, Pakistan. Syaikh telah memperbaharukan Bai‘ah dan telah  ditalqinkan kalimah Ismu Zat serta pengetahuan Tariqat Naqshbandiyah Mujaddidiyah. Menerusi beliaulah Hadhrat Syaikh memperolehi Nisbat Naqshbandiyah Mujaddidiyah. 

Sewaktu tempoh pengajian Syaikh di Al-Jami’ah Al-Ashrafiyah Lahore, beliau telah berpeluang bersuhbah, berkhidmat dan mengambil limpahan Faidhz dari ramai Para Masyaikh Auliya serta ‘Ulama Tafsir dan Hadits seperti Hadhrat Maulana Syeikh Musa Ar-Ruhani Al-Bazi Rahmatullah ‘alaih, Hadhrat Maulana Sufi Muhammad Sarwar Sahib, Hadhrat Maulana ‘Abdur Rahman Ashrafi Sahib, Hadhrat Maulana ‘Ubaidullah Ashrafi Sahib, Maulana Fazlur Rahim Ashrafi Sahib, Haji ‘Abdul Wahab, Maulana Sa’id Ahmad Khan, Maulana Jamshed, Maulana Nazirur Rahman, Maulana Ihsan, Maulana Muhammad Akram Kashmiri Sahib, Maulana Muhammad Baqi Billah Sahib dan berpeluang menziarahi maqam Hadhrat Data Ganj Syeikh  ‘Ali Bin ‘Utsman Al-Hujwiri Al-Jullabi Rahmatullah ‘alaih dan Hadhrat Maulana Ahmad ‘Ali Lahori Rahmatullah ‘alaih. 

Syaikh juga telah berkesempatan mengambil Faidhz dari Maqam Hadhrat Aqdas Maulana Muhammad ‘Abdullah Rahmatullah ‘alaih dan Hadhrat A’la Maulana Abu Sa’ad Ahmad Khan Rahmatullah ‘alaih di Khanqah Sirajiah dan juga berkesempatan mengambil Faidhz dari Maqam Hadhrat Khwajah Haji Muhammad Sirajuddin Rahmatullah ‘alaih, Hadhrat Khwajah Muhammad ‘Utsman Damani Rahmatullah ‘alaih dan Hadhrat Khwajah Haji Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah ‘alaih di Musa Zai Syarif, Pakistan. Setelah Hadhrat Syaikh berbai’ah dengan Hadhrat Syeikhul Masyaikh Khwajah Khwajahgan Maulana Khwajah Khan Muhammad Sahib di Khanqah Sirajiah, Syaikh sentiasa cuba melapangkan masa untuk bersuhbah dengan beliau meskipun perjalanannya dari Jamiah Ashrafiyah di Lahore ke Khanqah Sirajiah memakan masa perjalanan sehari atau semalam suntuk. Pada setiap kali menjelangnya bulan Ramadhan ketika cuti pengajian di Jamiah, Hadhrat Syaikh sering ke Khanqah Sirajiah untuk bersuhbah bersama Hadhrat Syeikhul Masyaikh Khwajah Khwajahgan Maulana Khwajah Khan Muhammad Sahib di Khanqah Sirajiah sehingga Hari Raya ‘Aidil Fitri. Pada malamnya beliau turut bersama jemaah menunaikan Solat Tarawih dengan mendengar bacaan Al-Quran sebanyak tiga juzuk pada setiap malam yang mengambil masa lebih kurang tiga jam untuk disempurnakan. Selepas Solat Subuh, beliau menjalankan majlis zikir Khatam Khwajahgan, pembacaan kitab-kitab Tariqat 
Tasawwuf Naqshbandiyah khususnya Maktubat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Hadhrat Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rahmatullah ‘alaih dan Malfuzat Qutub Rabbani Hadhrat Shah ‘Abdullah Ghulam ‘Ali Dehlawi Rahmatullah ‘alaih, kemudian beliau dan para jemaah akan bermuraqabah sehingga ke waktu Ishraq lebih kurang dalam lima belas minit dan setelah itu beliau akan pulang ke rumahnya untuk bersarapan pagi jika bukan dalam bulan Ramadhan. Hadhrat Syeikhul Masyaikh Khwajah Khwajagan Maulana Khwajah  Khan Muhammad Sahib datang kembali ke Khanqah sesudah sarapan untuk bersuhbah dengan Para Muridnya sehingga ke tengahari dan beliau akan kembali ke rumahnya untuk makan tengahari. Beliau akan berehat sebentar sementara menantikan waktu Zohor dan apabila masuknya waktu Solat, beliau akan datang ke Masjid untuk mengimami Solat Zohor dan sesudah Solat, beliau akan menjalankan majlis Zikir Khatam Imam Rabbani dan sesudah itu kembali ke Khanqah untuk bersuhbah dengan Para Muridnya sehinggalah masuk waktu ‘Asar. Apabila masuk waktu ‘Asar, beliau akan sekali lagi 
mengimami Solat ‘Asar dan sesudah Solat, beliau sekali lagi memimpin majlis zikir Khatam Khwajahgan dan menyemak pembacaan kitab-kitab Tariqat dan Tasawwuf oleh murid-muridnya sehinggalah ke waktu Maghrib. Sesudah bersolat Maghrib secara berjemaah, beliau akan kembali ke rumahnya untuk menikmati hidangan makan malam dan kembali ke
masjid untuk bersolat Isyak bersama jemaah. 
 
Selepas Solat Isyak, beliau akan bersuhbah dengan Para Murid sehingga hampir lewat malam dan jika dalam bulan Ramadhan, beliau akan bersolat Tarawih bersama jemaah sebanyak 23 rakaat beserta Solat Witir dengan mendengarkan pembacaan tiga juzuk dari Al-Quran pada setiap malam. Semoga Allah mengurniakan kita kekuatan 
dan keupayaan untuk melakukan amalan yang Salih sepertimana Para Masyaikh. Segala peningkatan Ruhani dan Warid yang terhasil adalah dengan berkat Tawajjuh dari Hadhrat Syeikh menerusi Suhbah dengannya, dan menerusi keberkatan dan Tawajjuh dari Hadhrat Shah Naqshband dan Para Masyaikh, Hadhrat Syaikh telah menerima nisbat Naqshbandiyah Qadiriyah, Naqshbandiyah Haqqaniyah, Naqshbandiyah Khalidiyah, Naqshbandiyah Mujaddidiyah dan Naqshbandiyah Uwaisiyah. 

Khulasahnya, Hadhrat Syaikh telah berbai’ah mengambil Silsilah ‘Aliyah Zahabiyah Tariqah Naqshbandiyah ini menerusi tiga jalan sebagaimana yang akan dinyatakan seperti berikut: 

Yang pertamanya, Hadhrat Syaikh Jalalluddin Ahmad Bin Nuruddin Ar-Rowi semoga diampunkan keduanya ini telah berbai’ah mengambil Silsilah ‘Aliyah Tariqah Naqshbandiyah Mujaddidiyah Khalidiyah Haqqaniyah dari gurunya Hadhrat Syeikhul Rabbani Raja Ashman Shah Ibni Sultan Azlan Shah Darul Ridzuan Mudda Zilluhumul ‘Ali di Khanqah Haqqaniyah, Bukit Damansara, Kuala Lumpur dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Syeikhul Masyaikh Sultanul Awliya Syeikh Muhammad Nazim ‘Adil Al-Qubrusi Al-Haqqani Mudda Zilluhumul ‘Ali dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Syeikhul Masyaikh Sultanul Awliya Syeikh ‘Abdullah Ad-Daghistani Rahmatullah ‘Alaih dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Syeikhul Masyaikh Sultanul Awliya Syeikh Sharafuddin Ad-Daghistani Rahmatullah ‘Alaih dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Syeikhul Masyaikh Sultanul Awliya Syeikh Abu Muhammad Al-Madani Rahmatullah ‘Alaih dan beliau telah mengambilnya dari 
gurunya Hadhrat Syeikhul Masyaikh Sultanul Awliya Syeikh Abu Ahmad As-Sughuri Rahmatullah ‘Alaih dan beliau telah 
mengambilnya dari gurunya Hadhrat Syeikhul Masyaikh Sultanul Awliya Syeikh Jamaluddin Al-Ghumuqi Rahmatullah ‘Alaih dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Syeikhul Masyaikh Sultanul Awliya Syeikh Muhammad Afandi Al-Yaraghi Rahmatullah ‘Alaih dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Syeikhul Masyaikh Sultanul Awliya Syeikh Khas Muhammad Shirwani Rahmatullah ‘Alaih dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Syeikhul Masyaikh Sultanul Awliya Syeikh Isma’il Muhammad Shirwani Rahmatullah ‘Alaih dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Awliya Syeikh Khalid Baghdadi Rahmatullah ‘Alaih dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Aqtab Maulana Shah ‘Abdullah Ghulam ‘Ali Dehlawi Rahmatullah ‘Alaih di Dehli. 

Yang keduanya, Hadhrat Syaikh Jalalluddin Ahmad Bin Nuruddin Ar-Rowi semoga diampunkan keduanya juga telah berbai’ah mengambil Silsilah ‘Aliyah Tariqah Naqshbandiyah Mujaddidiyah Khalidiyah dari gurunya Hadhrat Syeikh Syuyukh ‘Abdullah Kamal Ash-Shuhudi Rahmatullah ‘Alaih di Rumah Suluk Changkat Chermin, Batu Gajah, Perak dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Syeikh Muhammad Ja’afar Rahmatullah ‘Alaih dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Syeikh Muhammad Tayyib Rahmatullah ‘Alaih dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Syeikh Muhammad Yahya Rahmatullah ‘Alaih dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Syeikh ‘Abdullah Hilmi Rahmatullah ‘Alaih dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Syeikh Khalil Bashah Rahmatullah ‘Alaih dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Syeikh Yahya Ad-Daghistani Rahmatullah ‘Alaih dan beliau telah mengambilnya dari Hadhrat Syeikh ‘Abdullah Afandi Rahmatullah ‘Alaih dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Awliya Syeikh Khalid Baghdadi Rahmatullah ‘Alaih dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Aqtab Maulana Shah ‘Abdullah Ghulam ‘Ali Dehlawi Rahmatullah ‘Alaih di Dehli. 

Yang ketiganya, Hadhrat Syaikh Jalalluddin Ahmad Bin Nuruddin Ar-Rowi semoga diampunkan keduanya telah berbai’ah mengambil Silsilah ‘Aliyah Tariqah Naqshbandiyah Mujaddidiyah dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubuz-Zaman Maulana Abul Khalil Khan Muhammad Sahib Mudda Zilluhumul ‘Ali di Khanqah Sirajiah, Kundiyan Syarif, Mianwali, Pakistan, dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Dauran Maulana Muhammad ‘Abdullah Rahmatullah ‘Alaih di Khanqah Sirajiah dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul A’la Maulana Abu Sa’ad Ahmad Khan Rahmatullah ‘Alaih di Khanqah Sirajiah dan beliau telah mengambilnya dari
gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubun Nas Wal Jan Maulana Muhammad Sirajuddin Rahmatullah ‘Alaih di Musa Zai Syarif, Pakistan dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Dauran Maulana Muhammad ‘Utsman Rahmatullah ‘Alaih di Musa Zai Syarif dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Wali Haji 
Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah ‘Alaih di Musa Zai Syarif dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Dauran Maulana Shah Ahmad Sa’id Dehlawi Rahmatullah ‘Alaih di Dehli, India dan beliau telah mengambilnya dari ayahnya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubuz-Zaman Maulana Shah Abu Sa’id Dehlawi Rahmatullah ‘Alaih di Dehli dan beliau telah 
mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Aqtab Maulana Shah ‘Abdullah Ghulam ‘Ali Dehlawi Rahmatullah ‘Alaih di Dehli. 

Ketiga-tiga Silsilah hamba ini bertemu pada Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Aqtab Maulana Shah ‘Abdullah Ghulam ‘Ali Dehlawi Rahmatullah ‘Alaih. Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Aqtab 
Maulana Shah ‘Abdullah Ghulam ‘Ali Dehlawi Rahmatullah ‘Alaih telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Awliya Maulana Mirza Mazhar Jan Janan Syahid Rahmatullah ‘Alaih di Dehli dan beliau telah 
mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Samadani Maulana Sayyid Nur Muhammad Budayuni Rahmatullah ‘Alaih di Dehli dan beliau telah 
mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Dauran Maulana Syeikh Saifuddin Rahmatullah
‘Alaih serta mengambil Istifadah dari Hadhrat Hafiz Muhammad Muhsin Rahmatullah ‘Alaih dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Wara’ ‘Urwatil Wutsqa Muhammad Ma’sum Rahmatullah ‘Alaih dan beliau telah mengambilnya dari ayahnya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Aqtab Ghawts Faidhzani Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rahmatullah ‘Alaih di Sirhind dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Wilayah Muhammad Baqi Billah Rahmatullah ‘Alaih di Dehli dan beliau telah mengambilnya 
dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul ‘Ali Khwajah Amkangi Rahmatullah ‘Alaih di Turkistan dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Irshad Maulana Darwish Muhammad Rahmatullah ‘Alaih di Turkistan dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul ‘Abid Maulana Muhammad Zahid Rahmatullah 
‘Alaih di Turkistan dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Abrar Maulana ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih di Turkistan dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Rabbani Maulana Ya’aqub Charkhi Rahmatullah ‘Alaih di Khurasan dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Abrar Syeikh ‘Alauddin ‘Attar Rahmatullah ‘Alaih di Bukhara dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Aqtab Shah Bahauddin Naqhband Al-Uwaisi Rahmatullah ‘Alaih di Bukhara dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Maqam Wal Hal Sayyid Amir Kullal Rahmatullah ‘Alaih di Bukhara dan menerimanya secara Uwaisiyah dari Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Aqtab Syeikh ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘Alaih dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Samadani Muhammad Baba Sammasi Rahmatullah 
‘Alaih di Bukhara dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Faidhzani ‘Azizan ‘Ali Ramitani Rahmatullah ‘Alaih di Turkistan dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Abrar Mahmud Anjir Faghnawi Rahmatullah ‘Alaih di Turkistan dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul ‘Arifin Khwajah ‘Arif Riwagari di Turkistan dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Aqtab Sultanul Awliya Khwajah ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘Alaih di Turkistan dan beliau telah menerimanya secara Uwaisiyah dari Hadhrat Khwajah Khwajahgan Abul ‘Abbas Khidhir ‘Alaihissalam di Fars dan mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Samadani Syeikh Yusof Hamdani Rahmatullah ‘Alaih di Fars dan beliau telah 
mengambilnya dari gurunya Qutubul Ifrad Syeikh Abu ‘Ali Faramadi Rahmatullah ‘Alaih di Fars dan beliau telah mengambilnya dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Awliya Syeikh Abul Hassan ‘Ali Kharqani Rahmatullah ‘Alaih di Fars dan beliau telah mengambilnya dengan cara Uwaisiyah dari gurunya Hadhrat Khwajah 
Khwajahgan Qutubul ‘Arifin Syeikh Abu Yazid Bistami Rahmatullah ‘Alaih di Fars. Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul ‘Arifin Syeikh Abu Yazid Bistami Rahmatullah ‘Alaih telah mengambilnya dengan cara Uwaisiyah dari gurunya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Siddiqin Imam Ja’afar Sadiq Radhiyallahu ‘Anhu dan beliau telah mengambilnya dari gurunya juga datuknya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Solihin Imam Qasim Bin Muhammad Bin Abu Bakar As-Siddiq Radhiyallahu ‘Anhum dan beliau telah mengambilnya dari Hadhrat Khwajah 
Khwajahgan Qutubul Asfiya Sahibi Rasulullah Sayyidina Salman Al-Farisi Radhiyallahu ‘Anhu dan beliau telah 
mengambilnya dari gurunya juga Sahabatnya Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutubul Ummah Khalifah Rasulullah 
Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq Radhiyallahu ‘Anhu di Madinah Munawwarah dan beliau telah menerimanya dari gurunya juga Sahabatnya Hadhrat Syafi’ul Muznibin 
Rahmatan Lil ‘Alamin Imamul Anbiya Wal Mursalin Sayyidina Wa Maulana Muhammad ‘Abdullah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam di Jabal Thur, Mekkah dan 
baginda telah menerimanya dari Hadhrat Jibril Al-Amin ‘Alaihissalam di Jabal Nur, Mekkah dan beliau telah menerimanya dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala Jalla Jalaluhu.
 
Ya Allah, Rahmatilah kami dan kurniakanlah Kasih Sayang dan Makrifat serta Jam'iyat Zahir dan Batin serta ‘Afiyat di Dunia dan Akhirat dan Lautan Kesempurnaan dari Limpahan Faidhz dan keberkatan sekelian Para Masyaikh ini. Ya Allah Tuhan Pemelihara kami, wafatkanlah kami sebagai orang-orang Muslimin dan himpunkanlah kami bersama orang-orang yang Salihin. Segala puji bagi Allah di atas segala nikmat ini; Amin.   

Rujukan dan salinan : 
Kitab Ar Risalah Al Aliyyah karangan Hadhrat Khawajah Maulawi Jalalludin Ahmad Rowi Al Amani An Naqshbandi Al Mujaddadi Al Ruhani Al Bazi Al Uwaisi 'Afa Allahu 'Anhu waliwalidaihi


Kini setelah Hadhrat Syaikh berusia 50 tahun, beliau telah menerima pengurniaan Khirqat Tariqat dan Khilafat serta Ijazat yang sempurna lagi Mutlaq lebih dari Sepuluh Salasilah Tariqat daripada Hadhrat Syaikh Uzair bin Muhammad Al-Somasuni Al-Qadiri Al Naqsyabandi Al-Mujaddidi Al-Khalidi pada tarikh 9 Rabiul-Awal 1445H bersamaan 24 September 2023.

Nisbat Sepuluh Salasilah Tariqat‘Aliyyah dengan Ijazat serta Khilafat Mutlaq adalah seperti berikut :

1. Qadiriyyah
2. Rifa‘iyyah
3. Junaidiyyah
4. Yasawiyyah
5. Badawiyyah
6. Syaziliyyah
7. Naqshbandiyyah Mujaddidiyyah
8. Naqshbandiyyah Khalidiyyah
9. Chistiyyah
10. Silsilah Zahabiyyah

dan beberapa Ijazat serta Khilafat Tariqat yang lain :

11. Samanniyyah
12. Khalwatiyyah
13. Sa‘idiyyah
14. Sanusiyyah
15. Kubrawiyyah
16. Suhrawardiyyah
17. ‘Arusiyyah
18. Dusuqiyyah
19. ‘Alawiyyah
20. Ahrariyyah
21. Akbariyyah
22. Maulawiyyah
23. Madariyyah
24. Abu ‘Ala ‘iyyah
25. Shattariyyah
26. Shanawiyyah
27. Aba ‘Alawiyyah
28. Tijaniyyah
29. I'darusiyyah
30. Firdausiyyah
31. Qalandariyyah
32. Abdalaniyyah
33. Madiniyyah
34. Mukasyifiyyah
35. Idrisiyyah
36. Jamiyyah
37. Nasiriyyah
38. Rashidiyyah
39. Shamadaniyyah
40. Asyrafiyyah
41. Busyrawiyyah

Rujukan dan salinan :
Kitab Salasil Al Wasilah karangan Hadhrat Syaikh Muhammad Naim bin Jamil Al Qedahi An Naqshbandi Al Mujaddidi (Khalifah Hadhrat Maulawi Jalalludin Ahmad Rowi An Naqshbandi Al Mujaddidi) Ghaffarallahu dzunubahuma wa satara 'uyubahuma wa 'afa Allahu 'anhuma waliwalidaihima

والله أعلم بالصواب
سبحانك اللهم وبحمدك أشهد أن لا إله إلا أنت أستغفرك وأتوب إليك






Disalin semula oleh faqir lagi haqir umpama debu di telapak kaki para masyaikh

Azmye bin Asli 'afa Allahu 'anhu waliwalidaihi

Alamat : Kampung Kadalakan, Jalan Banjar, Keningau 89008, Sabah, Malaysia